TUMPAT - Dua lelaki bertindak meninggalkan sebuah kereta yang sarat dengan bekalan minyak masak bersubsidi sebelum melarikan diri ke Thailand menggunakan perahu melalui Sungai Golok di pangkalan haram Bahaman, Kampung Simpangan di sini pada Ahad.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, anggota Strike Force Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa menjalankan serbuan menerusi Op Taring Wawasan.
Menurut beliau, ketika serbuan dijalankan, pihaknya mengesan dua lelaki sedang memunggah beberapa kotak berwarna coklat dari sebuah Perodua Kancil ke dalam perahu di pangkalan haram berkenaan.
“Suspek yang menyedari kehadiran pasukan serbuan bertindak terjun ke dalam perahu sebelum memecut ke arah Thailand bagi mengelakkan ditahan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan yang ditinggalkan menemukan sejumlah minyak masak yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya kepada pemberita.
Ujar beliau, sebanyak 408 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dirampas dalam operasi tersebut.
Katanya, sebuah Perodua Kancil turut disita bagi membantu siasatan.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM6,020 membabitkan minyak masak dan kenderaan yang digunakan dalam kegiatan itu,” katanya.
Menurut Ahmad Radzi, hasil siasatan awal mendapati bekalan minyak masak berkenaan dipercayai diperoleh di sekitar Kota Bharu dan Tumpat sebelum cuba diseludup ke Thailand.
Beliau berkata, kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kota Bharu untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.