[VIDEO] 'Jika benar saya guna permit palsu, sila buktikan' - Bapa nafi semua dakwaan isu pengurusan jenazah anak

Iklan

KUALA LUMPUR -"Saya menafikan semua dakwaan terbabit termasuk tuduhan menggunakan permit palsu dan tidak pernah meminta mana-mana pihak masjid menguruskan jenazah anak saya."

Itu tegas Mohd Hasrul Ghazali, bapa kepada Allahyarham Siti Adawiyah,14, yang tampil menjelaskan keadaan sebenar susulan kontroversi berhubung urusan pengebumian anaknya yang tular di media sosial baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Mohd Hasrul (tengah) tampil menafikan dakwaan sekali gus menjelaskan keadaan sebenar susulan kontroversi berhubung urusan pengebumian anaknya yang tular baru-baru ini.

Mohd Hasrul berkata, sejak dimaklumkan mengenai kematian anaknya akibat komplikasi usus bocor, dia telah berurusan dengan Badan Kebajikan Silaturahim (BKS) bagi mengendalikan keseluruhan proses pengurusan jenazah dan bukannya pihak masjid seperti yang didakwa.

Iklan

"Dari awal lagi saya berurusan dengan BKS yang memang pernah menguruskan jenazah ahli keluarga saya sebelum ini," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Ahad.

Beliau berkata, selepas jenazah dibenarkan keluar dari Hospital Ampang, ia dibawa ke Surau An-Nur, Taman Cempaka untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan sebelum ke Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam bagi mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam.

Iklan

Waris bersama wakil BKS dijadual mengadakan sidang akhbar berkaitan isu kelewatan urusan pengebumian jenazah.

Menurutnya, ketika itu berlaku kekeliruan berkaitan permit pengebumian apabila dia diminta membawa permit mengubur berwarna biru ke tanah perkuburan, namun permit berkenaan kemudian dipegang oleh seorang wanita yang juga ahli lembaga kariah masjid.

"Saya kemudian membawa jenazah ke Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana dengan permit asal berwarna putih dan kuning yang berada di tangan saya.

"Bagaimanapun, ketika hendak mengebumikan jenazah, dua anggota polis bersama pekerja tanah perkuburan memaklumkan pengebumian dihentikan kerana terdapat laporan polis terhadap saya.

"Saya sebagai waris terpaksa menunggu sehingga pihak polis dan pihak masjid membawa permit berwarna biru. Selepas kira-kira sejam 39 minit, barulah jenazah anak saya dapat dikebumikan dengan sempurna," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pertikaian urusan jenazah: Masjid serah JAIS keluar kenyataan

JAIS buat laporan polis, dakwa borang pengebumian jenazah dipalsukan

Polis terima tujuh laporan berkait isu pengurusan jenazah

'Jika benar saya guna permit palsu, sila buktikan' - Bapa nafi semua dakwaan isu pengurusan jenazah anak

'Jangan hanya dengar sebelah pihak, dapatkan juga penjelasan daripada waris' - Datuk

Mohd Hasrul turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau menggunakan permit palsu bagi urusan pengebumian.

"Saya pergi ke tanah perkuburan dengan membawa permit asal berwarna putih dan kuning sahaja.

"Jika benar saya menggunakan permit palsu, sila buktikan kepada saya.

"Daripada pihak hospital, saya menerima empat salinan iaitu merah, putih, kuning dan biru.

"Borang biru saya sudah serahkan kepada pihak masjid, manakala putih dan kuning masih berada pada saya, jadi saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu," katanya.

Dia turut menafikan dakwaan memalsukan tandatangan pada Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam.

"Saya tidak pernah memalsukan tandatangan. Jika ada dakwaan sedemikian, sila tunjukkan bukti kepada saya," katanya.

Mohd Hasrul turut mendakwa sehingga kini dia tidak pernah dihubungi oleh pihak masjid mahupun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mendapatkan penjelasan sebelum kenyataan rasmi berhubung isu berkenaan dikeluarkan.

"Sebelum kenyataan JAIS dikeluarkan pun, tidak ada sesiapa menghubungi saya.

"Selepas saya membuat laporan polis juga, tiada pihak yang menghubungi saya sehingga pagi ini," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan caj pengurusan jenazah RM1,400, Mohd Hasrul berkata, dia dimaklumkan pihak masjid akan mengeluarkan bil kepada waris terlebih dahulu sebelum bayaran itu dituntut semula daripada BKS kerana beliau merupakan ahli pertubuhan berkenaan.

"Saya ahli BKS. Saya dimaklumkan pihak masjid akan membilkan kepada saya dan kemudian saya perlu membuat tuntutan semula kepada BKS," katanya.

Mengulas rakaman audio yang tular di media sosial, dia turut menafikan kandungan rakaman itu yang didakwa memberi gambaran negatif terhadap dirinya.

"Saya menafikan semua tohmahan dalam rakaman audio itu. Apa yang diperkatakan langsung tidak benar," katanya.

Sementara itu, datuk Allahyarham, Abd Majid Abdullah, 66, turut menafikan kenyataan JAIS yang mendakwa beliau berkeras tidak mahu pihak masjid menguruskan jenazah cucunya.

Menurutnya, sepanjang proses memandikan, mengkafankan dan menyolatkan jenazah dijalankan di surau, tiada wakil masjid mahupun individu lain hadir menawarkan bantuan bagi menguruskan jenazah berkenaan.

Sebelum ini, tular dakwaan seorang lelaki bahawa urusan pengebumian anaknya tertangguh hampir sejam di sebuah tanah perkuburan Islam.

Susulan itu, siak sebuah masjid tampil memberikan penjelasan dengan memaklumkan berlaku salah faham dalam urusan berkenaan apabila pengurusan jenazah yang sepatutnya dikendalikan pihak masjid didakwa diambil alih oleh BKS pada saat akhir.

Dalam perkembangan sama, JAIS turut menafikan pihak masjid menuntut bayaran RM1,400 daripada waris bagi pengurusan jenazah tersebut.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, dilaporkan berkata, waris pada peringkat awal berurusan dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak mempunyai kaitan dengan pihak masjid.