KEHADIRAN Parti Bersama dan Parti Wawasan Negara dalam kancah politik nasional dalam waktu hampir sama. Ketika warga politik Malaysia masih panas berbicara soal Parti Bersama yang dipimpin oleh Rafizi Ramli serta Nik Nazmi Ahmad meletup pula nama Parti Wawasan Negara. Parti ini dipimpin oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Terdapat kesamaan antara kedua-dua parti ini, iaitu parti yang sudah lama dipinggir gelanggang politik nasional. Parti kecil lagi kerdil persis dua pohon yang bantut di tanah gersang Pulau Pinang.
Parti Cinta Malaysia yang dijenamakan oleh Hamzah sebagai Parti Wawasan Negara berpusat di Bukit Mertajam, Seberang Prai, manakala Malaysian United Party/Parti Bersama Malayasia (MUP) dikekalkan nama Parti Bersama Malaysia atau Bersama oleh Rafizi. Parti nyamuk ini berpengkalan di Ayer Itam, Pulau Pinang, atau bagi orang lama dikenali sebagai Tanjung.
Parti Cinta Malaysia (PCM) diasaskan oleh Huan Cheng Guan, bekas Naib Presiden Gerakan pada 6 Ogos 2009, manakala Parti Bersama Malaysia ditubuhkan pada Mac 2016 oleh Tan Gin Theam. Kedua-dua parti ini merupakan parti pelbagai kaum yang kepimpinannya dikuasai oleh orang Cina.
Mirip sekali dengan Parti Gerakan dan DAP. Pada PRU 14, PCM meletakkan 6 calon parlimen, 16 kerusi DUN dan MUP meletakkan 5 calon Parlimen serta 20 untuk DUN. Kesemua calon PCM dan MUP hilang deposit pada PRU 14 di Pulau Pinang.
Entah tuah dari mana, tiba-tiba dua parti kerdil dari Pulau Pinang ini menjadi bualan pemain politik. Pada masa ini perhatian lebih tertumpu kepada Bersama yang dipimpin oleh RR dan NN. Parti yang nampaknya sedang menggugat kestabilan PKR. Ramai kepimpinan di peringkat cawangan serta bahagian PKR mengundurkan diri sambil menyatakan mereka menyertai Bersama.
Seolah-olah Bersama mulai menjadi saingan utama kepada PKR. Barangkali Bersama akan mencabar pengaruh PKR di kawasan pengundi campuran. Selama ini, kawasan campuran seolah-olah menjadi kubu kepada PKR.
Mampukah Rafizi dan Nik Nazmi yang hanya bertenaga Sang Kancil menumbangkan pengaruh PKR? Pintar serta licik semata-mata, lagi bersendirian belum pasti dapat mengawal hutan tebal politik dengan seribu helah warganya.
Antara keluar dan kekal di kandang
Antara Hamzah dan Rafizi hampir sama perjalanan politik mereka. Rafizi bekas seorang menteri. Mantan Timbalan Presiden PKR, yang tewas di dalam pemilihan parti. Beliau masih seorang ahli Parlimen.
Hamzah juga bekas seorang menteri. Mantan Timbalan Presiden Bersatu yang dipecat oleh partinya. Beliau tetap juga seorang anggota Parlimen biarpun dipecat dari parti.
Kedua-dua turut berkelana selepas tidak berparti. Akhirnya, Rafizi bersama Nik Nazmi menemui jalan keluar bila mampu mencungkil parti kecil di Pulau Pinang. Mereka hanya berdua memulakan ‘canting’ di dada kanvas Parti Bersama.
Berbeza dengan Hamzah, sebelum dan selepas dipecat beliau mempunyai gerombolan yang besar. Seramai 19 MP termasuk beliau tetap bersamanya, selain terdapat puluhan ADUN turut bersama.
Malah MP bersama Hamzah jauh lebih ramai dari pasukan Presiden yang memiliki 6 MP. Dari segi moral nampaknya Hamzah mengalahkan Presiden Parti Bersatu iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertembungan menguasai kepimpinan parti.
Oleh itu Hamzah tidak merasa cuak bila mengambil alih Parti Cinta Malaysia kerana gerombolannya jauh lebih besar dari pasukan Muhyiddin. Bila memimpin gerombolan MP serta ADUN yang ramai, lebih mudah untuk Hamzah mendapatkan rakan baru atau pakatan. Bermakna Hamzah mempunyai kuasa tawar menawar dalam menyertai mana-mana pakatan atau perkongsian.
Rafizi bermula dengan PKR dan berakhir dengan PKR. Beliau terlibat sejak daripada awal dengan parti pelbagai kaum iaitu PKR. Kemudian mengambil alih Parti Bersama Malaysia, juga parti pelbagai kaum.
Malah mengekalkan status parti tersebut seperti seadanya. Bermula dengan parti pelbagai aum dan meneruskan perjuangan dengan kaedah yang sama.
Hamzah bermula dengan UMNO, sebuah parti komunal berasaskan perjuangan kepentingan orang Melayu. Selepas itu beliau menyertai Bersatu, sebuah parti serpihan UMNO. Perjuangannya, juga bagi kepentingan umat Melayu.
Kedua-dua parti ini memperjuangkan ‘Alif, Ba, Ta’ iaitu agama, bangsa dan tanah air. Jadi UMNO dan Bersatu, boleh disimpulkan sebagai berideologi nasionalisme Melayu.
Bagaimanakah Hamzah mahu menyesuaikan dirinya dengan Wawasan Negara yang bukan lagi sebuah parti berteraskan Melayu? Mampukah beliau menunjal jauh slogannya selama ini berbau Melayu yang sudah bersebati dengan dirinya? Masih lancarkah beliau untuk melaungkan kepentingan Melayu di tengah parti berbilang kaum?
Kekok atau kelukah lidah beliau untuk melaungkan 'hidup Melayu!' bila Timbalan Presiden Wawasan Negara, iaitu Tan Lek Khang berada di sebelahnya? Bolehkah Hamzah secara tegas menolak UEC di depan dua orang naib presidennya iaitu Leong Kim Soon dan Huan Ching Guan?
Bagaimana Hamzah boleh memperkatakan tentang ‘Alif, Ba, Ta’ di dalam majlis yang ramai hadirin bukan Melayu anjuran Parti Wawasan Negara? Adakah Hamzah, Presiden Wawasan Negara masih sama dengan Hamzah Timbalan Presiden Bersatu?
Masa depan antara Wawasan Negara dan Bersama
Secara logiknya kedua-dua parti ini akan bertembung di kawasan pengundi campuran. Di samping itu terpaksa menghadapi PKR, MUDA, Gerakan, Amanah, PSM, PRM. Bermakna Bersama dan Wawasan Negara terpaksa merebut kerusi yang tidak banyak di pasaran politik nasional.
Kawasan Parlimen yang julat pengundi Melayu 50 hingga 59 peratus terdapat 25 kerusi, manakala dari 40 hingga 49 peratus terdapat 23 kerusi. Inilah angka yang jelas akan menjadi rebutan antara parti-parti berbilang kaum.
Masa depan buat Parti Wawasan Negara, nampaknya jauh lebih baik kalau dibandingkan dengan Bersama. Hamzah nampaknya mahu mengekalkan Wawasan Negara seperti parti-parti tradisional yang lain.
Beliau mahu acuan lama yang diamalkan sejak merdeka diteruskan oleh Wawasan Negara. Di mana sebuah parti lebih tersusun lagi teratur bila parti tersebut berstruktur yang jelas lagi nyata.
Sebuah parti berstruktur dari “bawah ke atas”. Tegasnya, bermula dari cawangan, bahagian, negeri dan kepimpinan pusat. Parti yang kukuh lagi berpengaruh seperti Pas dan UMNO mempunyai struktur yang jelas. Bila sebuah parti berstruktur, maka lebih mudah lagi lancar pergerakan parti-parti tersebut.
Rafizi nampaknya mahu bereksperimen dengan meninggalkan kaedah parti berstruktur yang jelas. Beliau lebih cenderung untuk membina Bersama sebagai parti dari ‘atas ke bawah’. Kalau pengamatan penulis ini tepat, maka Bersama adalah parti pertama meninggalkan cara tradisional yang membentuk serta menggerakkan parti.
Memang tepatlah kata-kata Rafizi semasa meluncurkan Parti Wawasan pada 17 Mei 2026, iaitu dia melakukan ‘kamikaze’. Barangkali beliau ingin menyatakan bahawa, dia membentuk Bersama meninggalkan struktur jelas sebagai langkah ‘kamikaze’. Kaedah dari ‘atas ke bawah’ juga boleh disifatkan ‘kamikaze’.
Sebenarnya, kaedah parti dari ‘atas ke bawah’ dan tidak berstruktur secara jelas tidak punyai peluang yang baik di pasaran politik negara. Memanglah, nampaknya seperti suatu revolusi dalam cara berpolitik di Malaysia. Mungkin juga mendapat sambutan serta digemari oleh anak muda yang suka kepada perubahan. Tetapi itu belum cukup perkuatkan parti dan menjadi parti berpengaruh di masa hadapan.
Sejarah parti-parti politik di mana pun tidak ada yang berjaya sehingga memimpin negara melalui kaedah ‘atas ke bawah’ dan meninggalkan kaedah parti berstruktur.
Eksperimen yang sedang dilaksanakan oleh Rafizi terhadap Bersama, sudah terdapat dalam gelanggang politik barat. Terdapat parti-parti di UK dan US yang kaedah ‘atas ke bawah’ dan tidak berstruktur secara jelas lagi ketat.
Parti Reform UK (Brexit Party), Green Party of England and Wales dan UK Independence Partyis antara tiga parti yang tidak berstruktur secara jelas lagi ketat. Parti-parti ini juga mengamalkan kaedah dari ‘atas ke bawah’.
Parti Reform agak menonjol selepas isu Brexit. Pada PRU 2024 UK, parti yang dipimpin oleh Nigel Farage hanya memenangi 6 kerusi MP, manakala Green Party turut memasuki PRU 2024 UK, dengan memenangi 4 kerusi Parlimen.
UK Independence Partyis melibatkan diri dalam PRU 2024 UK tetapi gagal memenangi sebarang kerusi. Green Party sudah lama di kancah politik UK, tetapi parti ini masih lagi dianggap parti nyamuk. Parti kekal lagi utuh dan bergilir memerintah UK adalah Labour Party (1900) dan Conservative Party (1834).
Di US, terdapat parti yang menolak kaedah tradisi sepertimana diamalkan oleh Demokrat (1828) dan Republikan (1854), iaitu Green Party of the United States dan Constitution Party. Green Party telah ditubuhkan pada 1984, kemudian menjadi parti secara nasional pada 2001. Manakala Contitution Party ditubuhkan pada 1992.
Jelas parti yang menguasai UK adalah parti yang berstruktur secara jelas melalui kaedah ‘bawah ke atas’. Biarpun Labour Party dan Conservative Party sudah ratusan tahun, parti-parti tersebut masih utuh dan bergilir memerintah UK. Begitu juga Parti Republikan dan Demokrat yang usia sudah 200 tahun, tetapi bersilih ganti memerintah US.
Sekiranya di UK dan US, parti sewaktu dengan Bersama tidak mampu membesar lagi berpengaruh, maka situasi tersebut tetap akan berlaku di negara ini. Tiada harapan yang jelas buat Bersama akan menjadi sebuah parti yang berpengaruh lagi menguasai politik nasional.
Biarpun pendukung Rafizi begitu ghairah menjaja serta mempromosi Bersama, tetapi itu tidak cukup meyakinkan majoriti pengundi. Memang benar, Rafizi membawa idea baru. Betul Rafizi bereksperimen kaedah dari ‘atas ke bawah’, nampak sesuatu yang luar biasa, tetapi belum pasti mampu melebarkan pengaruh Bersama.
Hamzah memilih jalan betul tapi Rafizi sebaliknya
Keputusan Hamzah mencari rakan yang kuat untuk melebarkan pengaruh Wawasan Negara, merupakan keputusan yang tepat lagi jitu. Kaedah yang dipilih oleh beliau iaitu ‘berteduh di pohon yang rendang’ dan ‘bergayut di dahan yang kukuh’ adalah jalan terbaik.
Hamzah memilih bergabung dengan Perikatan Nasional (PN), terutama berkapuk kepada Pas. Pas adalah parti yang terkuat pada masa ini. Parti tersebut mempunyai ahli Parlimen teramai iaitu 43 orang. Malah menjadi parti umat Melayu terkuat pada masa ini, jauh mengatasi kekuatan UMNO.
Kemenangan PN sebanyak 74 Parlimen pada PRU 15 lepas, adalah disumbangkan oleh kekuatan, jentera, pendukung dan simpatates Pas. Umum mengetahui kemenangan 31 calon Parlimen Bersatu pada PRU tersebut kerana mendapat dukungan Pas.
Presiden Wawasan Negara tidak perlu gopoh dan gelojoh dalam mendapatkan tempat serta pengaruh di dalam PN. Kembali terpilih sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen sudah terbukti Hamzah diberi ruang yang secukupnya di dalam PN nanti. Wawasan tidak diberi ruang dalam PRN Johor, suatu keputusan yang baik dari Pas untuk mengelakkan Wawasan tercedera pada PRN tersebut.
Apa yang jelas, Wawasan Negara telah bersandar pada kekuatan PN. Malah akan menjadi rakan penting Pas di dalam PN nanti. Sekiranya, Pas dan UMNO akan membentuk pakatan baru demi kepentingan bani Melayu, maka sudah pasti Wawasan Negara akan mengutip labanya nanti.
Rafizi akan membawa Bersama bersendirian dalam mengharungi gelombang politik nasional. Beliau telah mengumumkan bahawa Bersama tidak akan mencari rakan dalam menghadapi sebarang pilihan raya. Beliau bersedia menghadapi segala cabaran biarpun diterpa badai. Maknanya Rafizi bersedia melihat perahu kecilnya ditelan ombak. Beliau bersedia tenggelam lemas persis seekor kacil jatuh ke lubuk.
Sang Kancil, biarpun pintar, cerdas lagi licik, tetapi bila berada di tengah-tengah pertempuran antara Gajah dan Singa, akhirnya akan mati terpijak. Begitulah bila Bersama menghadapi PRU 16 nanti secara bersendirian. Rakyat atau pengundi akan memilih antara parti besar yang diyakini mampu memerintah negara.
Pengundi, bukan memberikan undi kepada seseorang atau parti yang diharapkan untuk menjadi pembangkang. Mereka memilih seseorang atau parti yang diyakini menang dan membentuk kerajaan.
Bersama tidak mampu menjadi parti yang gagah perkasa kerana tidak berstruktur yang jelas. Apatah lagi kaedah dari ‘atas ke bawah’ yang begitu longgar. Berbeza dengan parti berstruktur yang jelas lagi teratur.
Parti berstruktur akan melebarkan pengaruhnya melalui susunan dari cawangan, bahagian, negeri dan pusat. Di setiap lapisan kepimpinan itu akan bekerja keras untuk melebarkan pengaruh dan kuasa di dalam parti.
Ketua bahagian misalnya, bekerja kuat bukan sahaja untuk mendapatkan pengaruh tetapi untuk dilihat oleh kepimpinan di atas. Tujuannya untuk mendapatkan kepercayaan kepimpinan parti supaya dapat calon Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Parti yang tidak punyai struktur yang jelas lagi teratur, tidak ada yang mahu bekerja keras. Mereka tidak memegang jawatan di setiap peringkat yang menjadi tanggungjawab kepada parti. Jarang sekali orang bekerja semata-mata untuk sukarela buat selamanya.
Difahamkan dari pengumuman Rafizi, sesiapa ingin menjadi calon boleh memohon kepada kepimpinan parti. Untuk PRN Johor, kalau tidak salah terdapat 70 permohonan untuk menjadi calon pada PRN Johor. Tentunya, 15 calon Bersama dalam PRN Johor ini selepas melalui tapisan dari 70 permohonan tersebut.
Nampaknya, ingin menjadi calon kepada Bersama sama adalah kaedah memohon untuk jawatan penghulu. Mungkin calon Bersama ada yang mendapat undi agak banyak tapi tidak menang. Penulis percaya ramai juga calon Bersama hilang deposit.
Kesimpulannya, penulis yakin bahawa Bersama tidak mampu menjadi sebuah parti yang besar lagi berpengaruh. Parti ini hanyalah menjadi parti semasa dan bergantung rapat dengan kesediaan Rafizi dan Nik Nazmi memimpinnya.
Bersama menjadi popular sementara waktu kerana Rafizi dan Nik Nazmi bangkit melawan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR yang semakin tidak popular kerana kegagalan Anwar memimpin negara.
Peranan Rafizi dan Nik Nazmi barangkali tidak jauh bezanya nanti dengan pengaruh dua beradik dalam politik di Perak iaitu SD Seenivasagam dan SP Seenivasagam yang memimpin People Progresif Party (sebelumnya Perak Progresif Party). Selepas mereka meninggalkan PPP, parti itu menguncup dan lenyap.
Rafizi memilih untuk ‘kamikaze’ dengan melakukan eksperimen kepada Bersama, manakala Hamzah jalan tradisional dalam memperkuatkan parti Wawasan Negara. Hamzah memilih untuk bergabung dengan parti yang kuat lagi mantap, sedangkan Rafizi Ramli memilih bergerak bersendirian.
*Dr Kamarazaman Yacob ialah penganalisis politik yang kerap menyumbangkan pandangan di pelbagai media massa.