KUALA TERENGGANU – [DIKEMAS KINI] Tindakan seorang pemandu merempuh penghadang jalan sebelum melarikan diri berjaya membongkar taktik sindiket yang menjadikan tebing sungai sebagai transit penyeludupan rokok haram.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu, Hasbollah Din berkata, kejadian berlaku di Wakaf Bharu, Kelantan apabila suspek menyedari dirinya diekori Pasukan Penguatkuasaan Marin JKDM dan bertindak memecut laju kenderaannya sebelum meloloskan diri.
Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan yang ditinggalkan itu membawa kepada penemuan 200,000 batang rokok tidak berkastam bernilai RM182,600 termasuk duti dan cukai.
"Rampasan itu merupakan sebahagian daripada kejayaan empat siri serbuan berasingan di sekitar Terengganu dan Kelantan sepanjang April hingga Mei lalu yang merekodkan nilai keseluruhan mencecah RM807,718.
"Hasil keseluruhan operasi ini, pihak kami berjaya menyita 944,736 batang rokok pelbagai jenama dengan nilai barangan RM148,552 manakala jumlah cukai yang cuba dielakkan adalah sebanyak RM659,165," katanya ketika sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan JKDM Terengganu di sini pada Ahad.
Jelas Hasbollah, rampasan terbesar direkodkan hasil serbuan di sebuah tapak pembinaan terbiar di Besut pada 20 April lalu.
"Hasil serbuan di lokasi terbengkalai itu, pasukan penguatkuasaan berjaya menemukan 400,000 batang rokok tidak berkastam dengan nilai sitaan termasuk duti dan cukai berjumlah RM321,200," katanya.
Katanya, rentetan itu, pihak JKDM turut menyerbu sebuah premis di Kota Bharu, Kelantan pada 3 Mei lalu dan berjaya menyita 334,736 batang rokok putih serta kretek bernilai RM294,898.
Sementara itu, dalam satu lagi operasi di Besut pada 16 April lalu, dua lelaki tempatan berjaya diberkas ketika dipercayai sedang leka mengedar 10,000 batang rokok tidak berkastam ke sebuah premis perniagaan pada waktu tengah malam dengan nilai rampasan termasuk cukai sebanyak RM9,020.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, modus operandi sindiket kini adalah dengan menukarkan premis kediaman, kabin di tapak pembinaan terbiar, serta kenderaan sebagai 'stesen simpanan sementara'.
"Taktik licik itu digunakan bagi mengaburi pergerakan pihak berkuasa serta meminimunkan risiko kantoi semasa proses pengedaran ke pasaran tempatan dilakukan.
"Kesemua kes kini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,"katanya.
Beliau berkata, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM100,000 (mana yang lebih besar), dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau RM500,000 (mana yang lebih besar), atau hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Jelas beliau, aktiviti penyeludupan itu bukan sahaja merugikan hasil mahsul negara, malah mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan (rokok, minuman keras, mercun, dadah, atau kenderaan) untuk menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat, dengan jaminan kerahsiaan identiti pemberi maklumat,"ujar beliau.