Amaran ancaman sisa plastik terhadap biodiversiti marin

Iklan
Sebahagian daripada 100 sukarelawan terdiri daripada warga UMT, pelajar SMK Bukit Besar, JAS Terengganu, Geng Plastik Ija (GPI) dan Trash Hero Batu Buruk merakam gambar ketika menjayakan Program Let's Refuse Plastic 2.0 di Kuala Nerus.

​KUALA NERUS - Lambakan sisa plastik yang mengalir ke sistem sungai dan lautan kini menjadi ancaman besar buat biodiversiti marin serta keseimbangan ekosistem di negara ini.

​Menyedari impak buruk yang semakin membimbangkan itu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tampil menggerakkan Program Let's Refuse Plastic 2.0 di Tapak Carboot Sale UniSZA, Gong Badak, di sini baru-baru ini bagi menyebar luas kempen memerangi penggunaan plastik sekali guna.

Iklan
Iklan

​Pengarah Programnya, Dr Izan Jaafar berkata, usaha menyelamatkan alam sekitar dan ekosistem marin ini tidak boleh bergantung kepada kempen bermusim semata-mata, sebaliknya memerlukan perubahan total sikap masyarakat.

​"Sebagai universiti yang sinonim dengan penyelidikan marin dan kelestarian, UMT melihat pendidikan masyarakat sebagai antara pendekatan paling berkesan.

Iklan

​Beliau berkata, program bertemakan"Say No to One-Off Plastic!" itu berjaya mengumpulkan hampir 100 tenaga kerja dan sukarelawan termasuk daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Terengganu, pelajar SMK Bukit Besar, Green Ranger UMT, Geng Plastik Ija (GPI) serta Trash Hero Batu Buruk.

Katanya, pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan dan advokasi alam sekitar dilaksanakan termasuk kempen pengurangan penggunaan plastik sekali guna, pengagihan beg serta bekas makanan guna semula, kaji selidik kesedaran alam sekitar, kuiz berkaitan kelestarian dan promosi amalan membawa beg serta bekas sendiri ketika membeli-belah.

Iklan

"UMT percaya usaha memerangi pencemaran plastik perlu bermula dengan perubahan sikap dan amalan harian. Melalui Program Let's Refuse Plastic 2.0, kami ingin menyampaikan mesej bahawa setiap individu mempunyai peranan penting dalam mengurangkan penggunaan plastik sekali guna demi memelihara alam sekitar.

"Sebagai universiti yang sinonim dengan penyelidikan marin dan kelestarian, UMT komited memupuk kesedaran alam sekitar melalui gabungan pendidikan, penyelidikan dan libatsama komuniti.

"Kami mahu menjadikan amalan membawa beg sendiri, membawa bekas makanan sendiri serta menolak plastik sekali guna sebagai budaya masyarakat, bukannya sekadar kempen bermusim," katanya.

Beliau berkata, isu pencemaran plastik semakin membimbangkan kerana sebahagian besar sisa plastik akhirnya memasuki sistem sungai dan lautan, sekali gus mengancam biodiversiti marin serta menjejaskan keseimbangan ekosistem.

"Sebagai universiti yang memberi tumpuan kepada sains marin dan alam sekitar, UMT melihat pendidikan masyarakat sebagai antara pendekatan paling berkesan untuk membentuk perubahan tingkah laku yang berkekalan.

"Apabila kesedaran diterjemahkan kepada tindakan, impaknya bukan sahaja dapat mengurangkan pencemaran, malah membantu memelihara sumber semula jadi untuk dinikmati oleh generasi akan datang," katanya.

Melalui penglibatan secara langsung bersama komuniti, para pelajar berpeluang mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di dalam bilik kuliah dalam situasi sebenar, sekali gus meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan tanggungjawab sosial sebagai bakal saintis serta profesional yang prihatin terhadap isu kelestarian.

Pada masa sama, program itu turut menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan, SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab serta SDG 13: Tindakan Iklim, sejajar dengan komitmen UMT dalam memperkasakan pembangunan mampan di peringkat institusi dan komuniti.

"Sempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun UMT, penganjuran program seumpama ini turut mencerminkan peranan universiti sebagai peneraju pendidikan tinggi yang bukan sahaja melahirkan modal insan berkualiti, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan lestari negara melalui penyelidikan, inovasi dan khidmat kepada masyarakat," ujarnya.