'Kami tak mengalah' - Dua beradik hilang kaki bangkit berniaga cendol bantu keluarga

Iklan
Nik Haznita (kiri) dan adiknya, Nik Haziera gigih menjual cendol di Kampung Seri Lebak walaupun hanya satu kaki. Foto Ihsan Nor Haziera

TEMERLOH - Kehilangan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya tidak mematahkan semangat dua beradik dari Kampung Seri Lebak di sini untuk kembali berniaga cendol bagi membantu meringankan beban keluarga.

Dalam kejadian pada 7 Februari tahun lalu, motosikal yang dinaiki Nik Haziera Saffiya Nik Husmadi, 18, bersama kakaknya, Nik Haznita Saffiya, 20, terlibat dalam nahas dengan sebuah lori sehingga menyebabkan kaki kanan kedua-dua beradik itu terpaksa dipotong akibat kecederaan parah.

Iklan
Iklan

Menurut Nik Haziera, mereka sebelum ini membantu abang mengusahakan perniagaan cendol sebelum mengambil keputusan untuk meneruskannya selepas kemalangan.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana tidak sanggup melihat bapa mereka, Nik Husmadi Ismail, 46, yang melakukan kerja kampung terus menanggung beban menyara keluarga enam beranak.

Iklan

“Kami kasihan melihat abah yang bekerja kampung untuk menyara kami sekeluarga.

“Dengan keadaan ekonomi sekarang, beban abah semakin berat. Saya dan kakak sepakat bangkit semula dan berniaga seperti dahulu untuk membantu abah dan umi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Iklan

Nik Haziera yang baru menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu dan kini merupakan atlet pelapis lawan pedang kerusi roda negara berkata, cabaran paling sukar selepas bergelar orang kurang upaya (OKU) ialah menyesuaikan diri dengan pergerakan yang semakin terbatas.

Menurutnya, sebelum kemalangan, dia dan kakaknya sudah terbiasa melakukan pelbagai urusan sendiri termasuk mengangkat barang, memasang kanopi dan menguruskan perniagaan.

“Dulu kami berdua memang berdikari, mampu mengangkat barang untuk berniaga, memasang kanopi serta menguruskan pelbagai kerja sendiri.

“Tetapi selepas menjadi OKU, banyak perkara tidak lagi mampu dilakukan sendiri dan memerlukan bantuan orang lain. Itu perkara paling sukar untuk saya terima,” katanya.

Nik Haziera (kiri) bersama kakaknya, Nik Haznita reda apabila kehilangan satu kaki selepas kemalangan tahun lalu. Foto ihsan Nik Haziera

Berkongsi lanjut, dia berkata, mereka menerima ketentuan itu dengan hati terbuka dan tidak berdepan tekanan emosi.

“Alhamdulillah, sejak awal lagi saya dan kakak dapat menerima apa yang berlaku.

“Kami tidak mengalami kemurungan dan bersyukur masih diberi peluang meneruskan kehidupan,” katanya.

Dia memberitahu, kecederaan pada tangan kanan turut memberi kesan terhadap urusan menyediakan cendol.

“Tangan kanan saya hampir dipotong kerana banyak saraf dan tisu rosak. Sehingga kini, tangan saya masih kerap sakit, lemah dan ada kalanya kebas.

“Sebab itu saya memerlukan bantuan kakak ketika menyediakan cendol, terutama bagi kerja yang memerlukan tenaga.

Bagaimanapun, katanya, penerimaan positif orang ramai terhadap keadaan mereka menjadi dorongan untuk terus berniaga.

Menurutnya, pelanggan yang memahami keadaan mereka banyak membantu melancarkan urusan perniagaan.

“Alhamdulillah, cendol kami mendapat sambutan menggalakkan dan ramai datang selepas mengetahui kisah kami.

“Sepanjang tempoh pemulihan, saya sering bersiaran langsung di TikTok dan sokongan serta doa orang ramai termasuk keluarga dan rakan-rakan menjadi kekuatan untuk terus bangkit.

“Sehingga kini, kami tidak pernah berputus asa untuk meneruskan kehidupan dan perniagaan,” luahnya.

Dia turut menasihatkan mereka yang berdepan ujian agar tidak mudah mengalah.

“Jangan mudah mengalah kerana hidup masih panjang dan anggap setiap ujian sebagai cabaran untuk diteruskan, bukan penghalang,” katanya.