Kemudi bot laju dalam keadaan gelap sejauh 12km bawa PATI

Iklan
Hasil pencarian susulan kira-kira jam 12.20 pagi pada Rabu lalu menemukan lapan warga Myanmar bersembunyi di sebalik semak berhampiran Pasir Pekan Hilir, Tumpat.

PASIR PUTEH - Tekong penyeludup sanggup mengemudi bot pada kelajuan tinggi dalam keadaan gelap sejauh lebih 12 kilometer (km) di Sungai Kelantan bagi membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini tanpa dikesan pihak berkuasa.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, hasil pemerhatian mendapati tekong terbabit sangat mahir dengan keadaan muka bumi serta selok-belok sungai sehingga berjaya meloloskan diri daripada buruan pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, PATI berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui jalan laut dari Thailand sebelum memasuki Sungai Kelantan dan menjadikan negeri ini sebagai lokasi transit.

Kamal berkata, kejayaan mengesan kemasukan PATI itu adalah hasil pemantauan dan risikan berterusan yang dijalankan pihaknya bagi membanteras aktiviti penyeludupan di perairan negeri ini.

Iklan

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kira-kira jam 11.47 malam pada Rabu lalu, sebuah bot yang dipandu laju dikesan memasuki muara Sungai Kelantan sebelum dikejar anggota penguat kuasa.

"Bot itu dikejar sehingga ke Pasir Pekan Hilir, Tumpat, namun berjaya meloloskan diri kerana dipandu dalam keadaan gelap," katanya.

Iklan

Menurut beliau, hasil pencarian susulan kira-kira jam 12.20 pagi menemukan lapan warga Myanmar bersembunyi di sebalik semak berhampiran lokasi kejadian.

Katanya, kesemua PATI berusia antara 18 hingga 51 tahun itu terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita serta gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

"Hasil siasatan awal mendapati mereka dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk bekerja dalam sektor perkilangan.

"Setiap seorang dipercayai membayar RM6,000 kepada ejen dan menempuh perjalanan selama empat hari sebelum ditahan," katanya.

Menurut beliau, kesemua PATI terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali untuk tindakan lanjut.