IPOH – Selepas hampir dua minggu menyepi, seorang wanita dari Taiping yang dilaporkan hilang sejak 16 Jun lalu memberi khabar akan pulang dalam masa terdekat kepada ahli keluarganya.
Perkara itu dimaklumkan mangsa, Norafiza Zainuddin, 41, menerusi aplikasi WhatsApp dalam kumpulan keluarga pada Sabtu.
Adiknya, Ahmad Zulhilmi, 34, berkata, mesej tersebut sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada keluarga, namun mereka masih menunggu kepulangan sebelum benar-benar yakin dengan keadaannya.
Menurutnya, kakaknya memaklumkan hanya mahu menenangkan diri buat sementara waktu sebelum pulang ke pangkuan keluarga.
“Tapi lepas itu dia terus senyap. Kami masih tunggu dia balik. Selagi tak jumpa depan-depan, kami tak boleh rasa lega lagi,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Ahmad Zulhilmi berkata, pihak keluarga dimaklumkan oleh polis bahawa Norafiza mengalami sakit teruk, namun belum dapat dipastikan kesahihannya.
“Dia ada beritahu kepada polis bahawa dia sakit teruk, itu sahaja yang kami dimaklumkan. Kami masih tunggu dia buat laporan mengenai perkara itu. Sampai sekarang belum ada lagi,” katanya.
Beliau berkata, ahli keluarga amat berharap agar Norafiza segera pulang bagi meredakan kebimbangan terutama ibu dan dua anak perempuannya yang ingin bertemu sendiri dengannya.
“Kami cuma harap dia balik. Mak memang nak jumpa depan-depan baru boleh percaya dia betul-betul okay,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintenden Mohd Ariffridzuan Ezahar berkata, pihaknya telah berjaya menghubungi wanita berkenaan.
Menurutnya, Norafiza memaklumkan berada dalam keadaan selamat namun memerlukan sedikit masa untuk menenangkan diri sebelum kembali ke Taiping.
“Dia memaklumkan berada dalam keadaan sihat dan akan pulang ke Taiping untuk bertemu keluarga serta memberi keterangan kepada polis," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang wanita gagal dikesan selepas keluar rumah di Taiping untuk menghadiri temu duga kerja di sebuah hotel di Kuala Kangsar.
Keluarga tidak menemui sebarang petunjuk sehinggalah kenderaan mangsa ditemui pada 21 Jun lepas di Padang Rengas.
Pemeriksaan mendapati kenderaan itu masih berada dalam keadaan baik dengan kunci serta barangan peribadi di dalamnya, namun mangsa yang telah berpisah dengan suaminya awal tahun ini, tiada di lokasi.