PRN Johor uji kekuatan sebenar jentera BN, PH - Penganalisis

Iklan
14 kerusi di PRN Johor menyaksikan pertembungan satu lawan satu akan menjadi medan bersih bagi menguji pengaruh mutlak BN dan PH. Foto fail Bernama

JOHOR BAHRU - Pertembungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 tidak akan menggugat kestabilan serta keutuhan kerjasama Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan.

Rata-rata penganalisis politik berpendapat, persaingan itu harus dilihat sebagai manifestasi kematangan demokrasi pada peringkat tempatan, memandangkan percaturan politik dalam sesebuah negeri tidak semestinya mencerminkan keretakan hubungan pada peringkat pusat.

Iklan
Iklan

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Nazreena Mohammed Yasin berkata, persaingan itu merupakan ruang bagi setiap parti mengekalkan identiti organisasi masing-masing dan bukannya satu petunjuk kepada kerapuhan hubungan.

"Oleh itu, 'pertandingan' yang berlaku lebih wajar dilihat sebagai sebahagian daripada proses demokrasi dan strategi pilihan raya, bukannya petunjuk bahawa hubungan dalam Kerajaan Perpaduan telah terjejas," katanya kepada Bernama.

Iklan

Nada yang sama dikongsi Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan serta Politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin yang menganggap perbezaan strategi itu sebagai variasi lazim antara pentadbiran pusat dan politik lokal.

Beliau berkata, keadaan itu berpotensi memberikan lonjakan pemikiran baharu kepada masyarakat bahawa kebersamaan elemen federalisme boleh berjalan seiring dengan perbezaan politik setempat untuk menyokong kebaikan pengundi di Johor.

Iklan

"Kerjasama pada peringkat Persekutuan itu tidak boleh diganggu-gugat berdasarkan kepada isu-isu yang boleh membawa kepada kepentingan bersama," kata Noor Nirwandy.

Sementara itu, Geostrategis, Dr Azmi Hassan pula berkata, pertembungan itu tidak mencerminkan sebarang kekalutan kepimpinan di Putrajaya, sebaliknya bertitik tolak daripada momentum pencapaian BN pada peringkat negeri sebelum ini.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) itu berkata, keputusan BN untuk bergerak secara solo di Johor ialah realiti politik yang diambil kira sejak kemenangan besar gabungan itu pada PRN 2022.

"Mengambil kira apa yang berlaku ketika Pilihan Raya Umum ke-15, sebab itu BN memilih untuk bergerak solo. Keputusan ini tidak merencatkan hubungan pada peringkat nasional antara BN dan PH.

"Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga mengatakan beliau akan menyokong gabungan Kerajaan Perpaduan sehinggalah penggal Parlimen berakhir,” katanya.

Azmi berpendapat, 14 kerusi yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu akan menjadi medan bersih bagi menguji pengaruh mutlak BN dan PH, manakala 27 kerusi saingan tiga penjuru bakal menjadi penentu kerjasama selepas pilihan raya.

"Sebanyak 27 kerusi ini saya lihat sebagai penentu sama ada kerajaan campuran antara kedua-dua gabungan ini akan berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, realiti politik Malaysia hari ini membenarkan kerjasama peringkat Persekutuan dan pertembungan strategi negeri berjalan serentak.

Beliau berkata, tindakan bertanding pada semua kerusi menunjukkan kedua-dua parti ingin 'berlumba' menawarkan khidmat terbaik kepada rakyat dengan matlamat membawa kestabilan.

"Saya yakin selepas pilihan raya kedua-dua gabungan akan menjalinkan kerjasama yang lebih kukuh untuk negeri Johor," katanya.

Mengenai"kerusi panas", beliau meramalkan Datuk Onn Hafiz Ghazi di DUN Machap dan Dr Maszlee Malik di DUN Puteri Wangsa mempunyai kelebihan untuk menang, namun penyandang DUN Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal dijangka berdepan jalan berliku.

"Laluan sukar kepada Dr Sahruddin kerana beliau sebelum ini hanya menang majoriti 700 undi sahaja di kerusi tersebut," katanya.

Sebanyak 56 kerusi menjadi rebutan pada PRN kali ini dengan 14 daripadanya menyaksikan pertandingan satu lawan satu, 27 kerusi saingan tiga penjuru, 12 kawasan empat penjuru dan tiga kawasan saingan lima penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal pada 7 Julai, manakala hari pengundian bagi PRN Johor ke-16 adalah pada 11 Julai.- Bernama