Sidang Parlimen Georgia kecoh, MP bertumbuk dalam dewan

Iklan
Aksi pergaduhan mereka di dewan. Foto: TV Pirveli

TBILISI – Sidang pleno (persidangan penuh) terakhir sesi musim bunga Parlimen Georgia bertukar kecoh apabila ahli Parlimen daripada parti pemerintah Georgian Dream dan pembangkang For Georgia terlibat dalam pergaduhan fizikal pada Jumaat.

Insiden itu berlaku ketika sesi soal jawab selepas Perdana Menteri, Irakli Kobakhidze membentangkan laporan tahunan pentadbirannya.

Iklan
Iklan

Pergaduhan tercetus selepas Ahli Parlimen Pembangkang, Giorgi Sharashidze, membangkitkan isu lawatan Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev ke Georgia baru-baru ini dan mempersoalkan kedudukan sebenar Kobakhidze dalam kerajaan.

Sharashidze mendakwa rakaman video yang tular ketika lawatan itu menunjukkan Kobakhidze sekadar berada di belakang Pengasas Georgian Dream, Bidzina Ivanishvili, sekali gus menggambarkan beliau tidak memainkan peranan utama dalam pentadbiran negara.

Iklan

Kenyataan itu mencetuskan pertikaman lidah sebelum beberapa ahli Parlimen daripada kedua-dua pihak bertumbuk dan saling menolak antara satu sama lain.

Rakaman yang dikongsi media tempatan menunjukkan pergaduhan bermula antara Ahli Parlimen Georgian Dream, Irakli Kheladze dan Ahli Parlimen For Georgia, Giga Parulava sebelum merebak sehingga melibatkan beberapa wakil rakyat lain, termasuk ahli Parlimen wanita.

Iklan

Pasukan keselamatan Parlimen kemudian mengiring keluar beberapa wakil pembangkang bagi mengawal keadaan, manakala siaran langsung persidangan dihentikan buat sementara waktu.

Perdana Menteri bersama anggota Kabinet dilihat kekal berada di tempat duduk masing-masing ketika insiden berlaku.

Antara ahli Parlimen yang dikenal pasti terlibat dalam pergaduhan ialah Lasha Talakhadze, juara angkat berat Olimpik tiga kali yang kini mewakili Georgian Dream, serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Perundangan, Archil Gorduladze.

Perkhidmatan perubatan kecemasan turut dipanggil ke bangunan Parlimen sejurus selepas insiden bagi memberikan bantuan kepada mereka yang terlibat. - Agensi