KUALA LANGAT - Keadaan banjir di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini telah surut dan semua penduduk yang terjejas telah dibenarkan pulang pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, Pos Kawalan Bomba (PKB) RTB telah ditutup pada jam 6 petang, Jumaat.
"Banjir telah surut dan penduduk telah dibenarkan balik.
"Aktiviti pasca banjir telah mula dilaksanakan pada hari ini," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, pihak bomba melaksanakan pemantauan berkala dari semaasa ke semasa memantau keadaan paras air sungai.
Jelasnya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan BBP KLIA bergotong-royong membantu penduduk pada pasca banjir.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan jumlah mangsa terlibat dalam kejadian sejak Khamis lalu itu seramai 546 orang iaitu 295 lelaki dan 251 perempuan terdiri daripada 250 keluarga.
Berdasarkan pecahan, lelaki dewasa seramai 241 orang, perempuan dewasa (166 orang), kanak-kanak lelaki (80 orang), kanak-kanak perempuan (76 orang), bayi lelaki (1 orang) dan bayi perempuan (9 orang), lelaki warga emas (12 orang), wanita warga emas (16 orang), orang kurang upaya (OKU) lelaki (13 orang) serta OKU perempuan (4 orang).
Sebelum itu, sepasukan anggota BBP Banting, BBP KLIA dan BBP Dengkil dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 4.12 pagi, Khamis lalu.
Kejadian dipercayai berpunca akibat ban pecah yang menyebabkan banjir berkedalaman kira-kira 0.3 hingga 0.9 meter hingga menjejaskan 32 buah rumah.
Mangsa yang terjejas telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan RTB Bukit Changgang.