Dulu sekadar melihat, kini mampu beli durian premium

Iklan
Orang ramai mengambil kesempatan membeli durian musang king pada harga murah.

KUANTAN – Penurunan harga durian musim ini membuka peluang kepada lebih ramai pengguna menikmati varieti premium seperti Musang King dan duri hitam yang sebelum ini sukar dibeli kerana harganya yang tinggi.

Tinjauan mendapati durian Musang King dijual pada harga RM10 hingga RM15 sekilogram mengikut saiz, manakala durian kampung pula dijual pada harga RM3 sekilogram.

Iklan
Iklan

Bagi warga emas, Supiah Bujang, 74, berkata, harga yang ditawarkan membolehkannya membeli lebih banyak durian berbanding kebiasaan.

Menurutnya, selepas membeli pelbagai varieti premium sehari sebelum itu, dia kembali ke lokasi jualan berkenaan pada Sabtu untuk mendapatkan bekalan raja buah tersebut.

Iklan

"Semalam (Jumaat) saya sudah beli Musang King, IOI, semuanya cantik dan isinya elok. Hari ini saya beli lagi sebab cucu boleh makan durian yang elok dan selebihnya hendak dibuat tempoyak," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Program Jualan Buah-buahan Bermusim anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang di KotaSAS di sini pada Sabtu.

Dari kiri, Supiah, Kamaruddin, Aziz dan Asri Hasmi

Iklan

Supiah yang turut mengusahakan perniagaan makanan berkata, harga durian yang murah memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah (B40) menikmati durian premium pada harga lebih mampu milik.

"Kita golongan B40 memang bolehlah beli. Dulu harganya mahal, kita hanya tengok. Kalau beli pun mahal tetapi dapat buah yang tidak elok, muda atau keras, memang rasa rugi.

"Tetapi sekarang harga durian kampung RM3 sekilogram, manakala Musang King RM10 sekilogram pun sudah cantik," luahnya yang membelanjakan hampir RM150 bagi membeli raja buah itu.

Bagi pesara, Kamaruddin Taib, 67, jualan berkenaan memberi peluang kepadanya membeli durian pada harga jauh lebih murah berbanding di pasaran.

"Sebelum ini saya singgah di Jalan Gambang, harga durian kampung sekitar RM9 sekilogram, tetapi di sini cuma RM3 sekilogram.

"Musang King yang sebelum ini mencecah RM40 hingga RM50 sekilogram kini sekitar RM10 dan memang gembira dapat beli durian semurah ini," ujarnya.

Supiah membelanjakan lebih RM150 bagi membeli raja buah susulan harga buah tersebut semakin murah.

Sementara itu, pekerja kilang, Aziz Yusof, 60, memberitahu pengguna kini mempunyai lebih banyak pilihan apabila harga pelbagai varieti durian menurun pada musim ini.

"Dulu Musang King, IOI dan durian udang merah mahal, ramai yang tidak mampu beli.

"Sekarang harganya turun, memang memberi peluang kepada orang yang sebelum ini tidak mampu," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Asri Hasmi Arifin, 48, berkata, harga yang ditawarkan begitu berbaloi sehingga mendorongnya datang membeli buat kali kedua.

"Saya sudah beli banyak malam tadi, hari ini datang lagi sebab harga berbaloi dan murah," ujarnya.