PINDAHAN fiskal adalah instrumen kewangan yang sangat penting dalam menyokong kerajaan negeri menunaikan tanggungjawabnya dan bagi membolehkan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap dan berkesan di seluruh negara.
Disebabkan itu, wacana dan advokasi mengenainya oleh pelbagai pihak seperti menerusi Persidangan Tanggungjawab Fiskal 2026 yang dianjurkan oleh Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) pada Khamis lalu menjadi semakin penting untuk memastikan bahawa pindahan fiskal ini benar-benar ditadbir oleh peraturan yang jelas, formula penyaluran yang boleh diramal serta mekanisme pelaporan yang telus.
Di samping penekanan terhadap ketiga-tiga standard ini, perbincangan dalam persidangan itu juga turut menumpukan kepada aspek keperluan dan kebolehlaksanaan pengagihan kuasa kewangan yang lebih besar kepada kerajaan negeri dan kerajaan tempatan berbanding struktur dan amalan semasa ini yang semakin memusatkannya kepada Kerajaan Persekutuan.
Sebagai salah seorang panel yang turut dijemput ke persidangan ini, saya diberikan peluang untuk berkongsi pengalaman Terengganu dalam konteks ini dengan audiens yang terdiri daripada pegawai kerajaan, pemimpin politik serta ahli akademik dan penyelidik dasar awam.
Semasa forum bertajuk “Masa Depan Pindahan Fiskal dan Keupayaan Fiskal Negeri di Malaysia”, salah satu soalan yang diajukan kepada saya oleh moderator ialah mengenai langkah-langkah oleh Kerajaan Negeri Terengganu dalam mengurangkan kebergantungan kepada pemberian oleh Kerajaan Persekutuan.
Menjelaskan hal ini saya mulakannya dengan memberikan gambaran sebenar mengenai kebergantungan semua negeri di Malaysia kepada Kerajaan Persekutuan kerana ia berakar umbi daripada struktur federalisme yang diamalkan di negara kita sejak awal pembentukannya lagi.
Penjelasan ini juga sekali gus bertujuan membetulkan salah faham segelintir pihak yang beranggapan seolah-olah Terengganu dan beberapa negeri tertentu sahaja yang bergantung kepada Kerajaan Persekutuan.
Sedangkan negeri-negeri maju seperti Selangor, Johor, Pulau Pinang, Perak dan Pahang bukan setakat merekodkan terimaan yang tinggi, bahkan Kerajaan Persekutuan turut membelanjakan sejumlah peruntukan yang sangat besar untuk melaksanakan pembangunan di negeri-negeri ini.
Disebabkan inilah negeri-negeri ini mempunyai infrastruktur pengangkutan, utiliti dan komunikasi yang jauh lebih baik untuk memacu pertumbuhan ekonominya. Negeri-negeri ini juga mendapat kelebihan perdagangan daripada pelabuhan dan lapangan terbang bertaraf antarabangsa ditambah pula dengan jaringan lebuh raya yang menghubungkan dengan banyak destinasi.
Dalam konteks Terengganu pula, royalti petroleum adalah komponen hasil yang terbesar. Selain dipengaruhi oleh turun naik harga minyak mentah global, cabaran yang lebih besar ialah ketidaktentuan jumlah dan cara pembayaran oleh Kerajaan Persekutuan seperti beberapa tahun kebelakangan ini.
Keadaan ini menjejaskan Kerajaan Negeri dalam banyak aspek, daripada gangguan aliran tunai, menyukarkan peracangan pembangunan, melambatkan kemajuan projek, meningkatkan kos pengurusan sehinggalah kepada terpaksa menghadapi tuntutan daripada kontraktor atau pembekal.
Walaupun mempunyai kekangan kewangan, kerajaan sebagai salah satu faktor utama pertumbuhan mahu tak mahu tetap perlu melakukan perbelanjaan demi merangsang pasaran dan meneruskan perkhidmatan kepada rakyat.
Supaya boleh tetap menunaikan tanggungjawab penting inilah Kerajaan Negeri merancang dan melaksanakan pelbagai strategi dengan tiga objektif utama iaitu memperkemas kerangka tadbir urus fiskal, meningkatkan kecekapan kutipan hasil daripada sumber sedia ada dan mempelbagaikan sumber hasil baharu.
Antara inisiatifnya termasuklah dengan mewujudkan jawatankuasa khas mengenai peningkatan hasil dan perbelanjaan berhemah; menubuhkan jawatankuasa peringkat tertinggi untuk memantau dan menyelaras pelaksanaan projek dan program kerajaan; membangunkan rangka kerja fiskal jangka sederhana dan rangka tindakan transformasi ekonomi, serta melaksanakan ‘outcome-based budgeting’ dengan lebih menyeluruh melibatkan semua entiti kerajaan.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut memperbaharui struktur hasil berkaitan tanah; meneroka pelbagai sumber dan mekanisme pembiayaan; menggalakkan pelaburan dan perindustrian bernilai dan berimpak tinggi; memajukan aktiviti huluan, pertengahan dan hiliran berkaitan sumber mineral, termasuk nadir bumi serta minyak dan gas; memperkukuh sektor pertanian sebagai ‘sustainable economy’; menarik lebih ramai pelancong termasuk pelancong asing; menyokong pengembangan perniagaan dengan pelbagai bentuk bantuan kewangan dan bukan kewangan, serta pelbagai inisiatif lagi.
Walaupun didorong oleh matlamat untuk mengukuhkan kedudukan kewangan, Kerajaan Negeri tetap mengambil sikap berhati-hati supaya setiap keputusan dan tindakan yang dibuat tidak menekan kewangan isi rumah dan perniagaan yang sudah sedia terbeban dengan keadaan ekonomi semasa, serta memastikan inisiatif yang dibuat benar-benar berkesan dan berdaya tahan dalam tempoh jangka panjang.
Alhamdulillah, rancangan dan usaha ini sedikit demi sedikit telah membuahkan hasilnya. Ini dapat dilihat apabila purata jumlah hasil cukai dan hasil bukan cukai bagi tempoh RMK12 telah meningkat sebanyak 22.2 peratus kepada RM289.34 juta setahun berbanding RM236.77 juta setahun bagi tempoh RMK11. Hasil janaan negeri pada 2025 pula berjaya merekodkan yang tertinggi dalam sejarahnya iaitu melebihi RM450 juta.
Nisbah hasil janaan negeri ini berbanding pemberian Kerajaan Persekutuan telah berkembang kepada melebihi 31 peratus berbanding hanya sekitar 17 peratus tahun sebelumnya. Ini sebahagian bukti bahawa Kerajaan Negeri berjaya memperkemas struktur hasilnya.
Berdasarkan perkembangan semasa ini, sasaran untuk melepasi angka RM510 juta menjelang 2030 dijangka dan diharapkan dapat dicapai lebih awal, insya-Allah.
Dalam sebarang ikhtiar untuk memajukan negeri ini, Menteri Besar Terengganu,Ikhtiar Terengganu, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sering mengingatkan seluruh jentera kerajaan supaya memastikan keseimbangan pada tiga aspek iaitu kedudukan fiskal yang kukuh, pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kesejahteraan rakyat dalam pelbagai dimensi kehidupan.
Sekarang, yang diperlukan ialah hanya kesedaran dan iltizam politik yang tinggi daripada seluruh pemimpin kerajaan dan ahli politik untuk memperbaik struktur dan amalan federalisme fiskal di negara kita.
*Penulis ialah Pegawai Eksekutif Strategi Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)