MUAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak berkecil hati dengan keputusan Pas yang mengambil pendirian untuk tidak membantu kempen parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan tersebut diterima dengan terbuka walaupun dalam semangat Perikatan Nasional (PN), setiap parti sepatutnya saling membantu antara satu sama lain.
“Walaupun dalam soal prinsip PN sepatutnya ada semangat saling membantu, tetapi kalau rakan-rakan tak nak bantu, kita terima.
“Setakat ini pun kita bekerja keras atas kekuatan yang kita ada berdasarkan dasar dan amalan yang telah kita lakukan selama ini. Saya yakin pengundi tahu bagaimana hendak membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas proses penamaan calon bagi DUN Bukit Kepong di sini pada Sabtu.
Muhyiddin hadir memberikan sokongan kepada calon Bersatu-PN, Datuk Dr Sahruddin Jamal yang juga penyandang kerusi berkenaan.
DUN Bukit Kepong menyaksikan pertembungan tiga penjuru dengan Dr Sahruddin akan ditentang calon PH, C Subramani dan BN, Ahmad Syarie Yusof.
Bagaimanapun Muhyiddin menegaskan, Bersatu tetap mengamalkan sikap terbuka dan bersedia membantu mana-mana rakan sekutu yang memerlukan sokongan.
“Tetapi kalau rakan kita mahukan sokongan, kita akan bantu. Itu amalan kita, sikap kita terbuka,” katanya.
Pada Jumaat, Pas mengesahkan parti itu hanya akan menumpukan gerak kerja kempen bagi calon-calonnya sendiri dan tidak akan membantu kempen calon Bersatu pada PRN Johor.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pendirian itu kekal, selain menjelaskan penggunaan logo PN oleh parti berkenaan dibuat atas beberapa faktor termasuk desakan pihak tertentu.