KLUANG – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap bakal menyaksikan saingan dua penjuru apabila penyandangnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dicabar calon Pakatan Harapan (PH)-Amanah, Nur Hafiz Roslan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Pertembungan itu mengulangi status Machap sebagai antara kerusi tumpuan apabila Onn Hafiz, yang juga Pengerusi UMNO Johor dan Barisan Nasional (BN) Johor, mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRN Johor 2022.
Pengumuman calon yang layak bertanding dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Machap, Mohd Izzul Helmi Ahmad, di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam selepas tamat proses penamaan calon pada jam 10 pagi.
Terdahulu, ratusan penyokong memenuhi pekarangan pusat penamaan calon seawal pagi bagi memberi sokongan kepada kedua-dua calon, dengan penyokong BN dan PH masing-masing melaungkan kata-kata semangat.
Onn Hafiz tiba di pusat penamaan calon dengan diiringi beberapa pemimpin kanan UMNO, termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad; Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Pada PRN Johor 2022, Onn Hafiz memenangi DUN Machap dengan majoriti 6,543 undi selepas memperoleh 11,029 undi, sekali gus menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), MUDA dan PEJUANG.
PRN Johor akan berlangsung pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai.