KLUANG – Mengenakan baju Barisan Nasional (BN) yang ditempah khas, seorang pesara dari Selangor sanggup menempuh perjalanan ke Johor bagi memberi sokongan kepada parti serta calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Alias Samad, 68, dari Kampung Asam Jawa, Klang, berkata, dia tiba di Johor sejak Khamis lalu dan menginap di sebuah hotel di bandar Kluang sebelum menghadiri proses penamaan calon pada Sabtu.
Bapa kepada 12 orang anak itu berkata, dia berada di perkarangan Pusat Penamaan Calon DUN Machap di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam seawal jam 7 pagi bagi memastikan tidak terlepas menyaksikan suasana hari penamaan calon.
Menurut Alias, kehadirannya bukan atas arahan mana-mana pihak, sebaliknya dilakukan secara sukarela.
"Hari ini pula giliran saya hadir memberi sokongan kepada Onn Hafiz," katanya ketika ditemui pada Sabtu.
Sebelum itu, Onn Hafiz tiba di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam pada jam 8.55 pagi, diiringi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad; Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; serta Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Dalam pada itu, Alias berkata, keseluruhan kos perjalanan, penginapan dan perbelanjaan sepanjang berada di Johor dianggarkan sekitar RM500.
Malah, beliau turut menempah baju khas yang memaparkan imej topi cef untuk dipakai pada hari penamaan calon dengan kos sekitar RM50.
"Walaupun sudah bersara, semangat untuk terus menyokong perjuangan parti tidak pernah luntur.
"Setiap penyokong mempunyai peranan tersendiri dalam memberi suntikan semangat kepada calon yang bertanding.
"Saya harap kehadiran penyokong dari pelbagai negeri dapat meningkatkan lagi semangat jentera parti sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian," ujarnya.