JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Wang Wee Szong menegaskan penyertaannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bukan sekadar mencuba nasib, sebaliknya bertekad untuk menang dan membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri.
Peniaga berusia 49 tahun itu berkata, beliau mengambil keputusan bertanding selepas tidak lagi mampu berdiam diri melihat pelbagai isu yang dihadapi rakyat.
"Saya muncul sebab nak bawa suara rakyat. Saya nak bagi suara yang lain, suara yang betul, suara yang benar.
"Saya bertanding bukan sebab cuba nasib, saya nak menang. Kalau tak yakin, macam mana saya nak bertanding?" katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon di sini pada Sabtu.
Anak jati Puteri Wangsa yang sudah berkeluarga dan mempunyai seorang anak itu berkata, beliau yakin rakyat mahukan alternatif kepada parti-parti politik sedia ada.
Menurutnya, beliau memilih simbol kunci sebagai lambang kempennya kerana ia membawa maksud 'kunci kepada hak rakyat'.
"Saya pilih kunci sebab ia kunci kepada hak rakyat. Kita mahu suara yang betul-betul datang daripada rakyat.
"Kita sudah bosan, kita sudah penat dengar macam-macam cerita daripada parti lain. Hari ini saya bertanding di sini dan saya minta semua rakyat dengar baik-baik serta sokong calon Bebas," katanya.
Wee Szong akan berdepan empat pencabar di DUN Puteri Wangsa iaitu bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mewakili Pakatan Harapan (PH), calon muka baharu Barisan Nasional (BN), Teow Chia Ling, Ketua Pegawai Pusat Khidmat DUN Puteri Wangsa, Rashifa Aljunied daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) serta Nicholas Paul Vincent daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Julai sebagai hari pengundian bagi PRN Johor, manakala pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai.