KUALA LUMPUR – Polis bakal menggunakan kit ujian air liur di lokasi sekatan jalan raya (SJR) bagi mengesan pemandu dan pengguna cecair dadah sintetik jenis piu piu dan magic mushroom.
Langkah ini diambil berikutan kejadian-kejadian kemalangan yang dipercayai banyak membabitkan pengguna jalan raya yang khayal akibat menggunakan dadah sintetik berkenaan yang dicampurkan dalam rokok peranti elektronik atau vape.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penggunaan kit berkenaan dilihat mampu membantu pihak berkuasa mengesan dadah dalam vape secara lebih pantas berbanding kaedah sedia ada yang memerlukan ujian urin.
"Langkah itu merupakan sebahagian usaha berterusan polis dalam menangani peningkatan kes penyalahgunaan vape yang dicampur dengan dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.
Hussein berkata, pihaknya turut mendapati terdapat peningkatan ketara kes melibatkan vape yang dicampur dadah apabila sebanyak 108 kes dengan 138 tangkapan direkodkan pada tahun lalu.
"Manakala dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini sehingga 10 Jun, angka itu meningkat kepada 168 kes dengan 267 tangkapan.
“Peningkatan ini menunjukkan trend yang membimbangkan kerana ia bukan sahaja melibatkan pengguna dewasa, malah turut membabitkan golongan muda termasuk pelajar sekolah,” katanya.
Beliau berkata, antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan tersebut adalah akses mudah untuk mendapatkan vape yang dicampur dadah melalui platform dalam talian, selain harga yang murah serta sifatnya yang sukar dikesan kerana tidak berwarna dan tidak berbau.
"Keadaan itu turut membuka ruang kepada sindiket untuk memasarkan bahan terlarang tersebut menggunakan pelbagai istilah komersial seperti piu piu dan magic mushroom," katanya.
Hussein turut menyuarakan kebimbangan terhadap risiko keselamatan awam termasuk insiden kemalangan jalan raya yang dipercayai berpunca daripada pemandu yang berada di bawah pengaruh vape yang dicampur dadah.
“Beberapa kejadian seumpama itu telah berlaku sama ada di dalam negara mahupun di luar negara dan ia menunjukkan ancaman ini semakin serius,” katanya.
Sehubungan itu, polis menyokong cadangan supaya penggunaan vape diharamkan sepenuhnya bagi memudahkan kawalan dan tindakan penguatkuasaan walaupun dianggarkan hanya sebahagian kecil pengguna terlibat dalam penyalahgunaan bahan terlarang tersebut.
Hussien berkata, pihaknya akan memohon bajet khas daripada Kementerian Dalam Negeri untuk membeli kit ujian air liur tersebut.
"Kita akan menggunakan kit tersebut sebelum hujung tahun ini," katanya.
Dalam masa sama, Hussein memaklumkan polis akan terus mempergiatkan pemantauan serta tindakan terhadap pengedaran bahan kimia sintetik yang dicampurkan ke dalam vape oleh sindiket yang dikesan aktif di pasaran gelap.
"Kita bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta agensi berkaitan dalam usaha membanteras penyalahgunaan vape dicampur dadah di seluruh negara," katanya.