KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi pada Jumaat menolak permohonan Bloomberg (Malaysia) Sdn Bhd untuk membatalkan saman fitnah yang difailkan oleh Bestinet Sdn Bhd (Bestinet) dan pengasasnya, Datuk Seri Aminul Islam Abdul Nor, berhubung laporan yang mengaitkan syarikat itu dengan dakwaan eksploitasi pekerja asing.
Hakim Roslan Mat Nor memutuskan bahawa terdapat beberapa isu penting dalam pliding yang dikemukakan Bloomberg (Malaysia) berkaitan artikel bertajuk 'Everyone Gets A Cut, And Migrant Workers Pay The Price' yang perlu ditentukan melalui perbicaraan penuh.
Memetik laporan The Edge Malaysia, beliau berkata, isu berkenaan tidak boleh diputuskan secara ringkas berdasarkan afidavit semata-mata kerana melibatkan pertikaian fakta yang memerlukan pembuktian di mahkamah.
Menurutnya, antara persoalan yang perlu diperhalusi ialah sama ada Bloomberg (Malaysia) benar-benar terlibat dalam penerbitan artikel berkenaan atau mempunyai kawalan serta peranan terhadap operasi laman web utama Bloomberg.
Mahkamah turut memerintahkan Bloomberg (Malaysia) membayar kos sebanyak RM5,000 kepada pihak plaintif.
Pada April lalu, Bloomberg (Malaysia) memfailkan permohonan untuk membatalkan saman fitnah yang dikemukakan Bestinet dan Aminul Islam berhubung artikel yang mengaitkan mereka dengan sindiket pengambilan pekerja asing.
Berdasarkan dokumen mahkamah yang difailkan peguam Amer Hamzah Arshad, Bloomberg (Malaysia) berhujah bahawa syarikat itu bukan penerbit artikel berkenaan dan tidak menyebabkan penerbitannya pada Januari lalu.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili Bestinet dan Aminul Islam, Ravi Nekoo daripada firma guaman Lui & Bhullar berhujah bahawa Bloomberg (Malaysia) bukan entiti yang benar-benar berasingan daripada syarikat induknya serta mempunyai tanggungjawab tertentu terhadap penerbitan artikel berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa dakwaan Bloomberg (Malaysia) hanya menyediakan perkhidmatan sokongan tempatan tanpa mempunyai kawalan terhadap penerbitan artikel perlu dibuktikan melalui proses perbicaraan.
Selain Bloomberg LP dan Bloomberg (Malaysia), Bestinet serta Aminul Islam turut memfailkan saman terhadap lapan defendan lain.
Saman itu berpunca daripada laporan Bloomberg yang diterbitkan pada Januari lalu berhubung operasi Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) oleh Bestinet, iaitu sistem yang digunakan bagi memproses kemasukan pekerja asing ke Malaysia.
Bestinet dan Aminul Islam mendakwa kenyataan yang diterbitkan dalam laporan tersebut berunsur fitnah, tidak benar serta telah menjejaskan reputasi dan nama baik mereka.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu membolehkan saman fitnah berkenaan diteruskan ke peringkat perbicaraan penuh bagi membolehkan semua pihak mengemukakan bukti dan keterangan berhubung isu yang dipertikaikan.