Jualan Rahmah Bergerak ringankan beban, dedah pelajar ilmu usahawan

Iklan
Muhammad Nasir (empat dari kanan) menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Koperasi Sekolah, Hari Kokurikulum, Hari TVET dan Hari Seni dan Budaya di SMK Pelagat, Jertih, Besut, baru-baru ini.

​BESUT - Penganjuran Program Jualan Rahmah Bergerak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelagat, Jertih di sini bukan sahaja berjaya meringankan beban kewangan masyarakat, malah bertindak sebagai serampang dua mata dalam merapatkan hubungan warga sekolah dengan komuniti setempat.

​Pengetua SMK Pelagat, Mohd Fakaru Azhar Yunus berkata, jualan murah yang diadakan di pekarangan sekolah itu memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk berinteraksi dengan lebih dekat bersama pihak sekolah, di samping memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai aktiviti keusahawanan dan pengurusan acara berskala besar.

Iklan
Iklan

​"Pelajar diberi pendedahan harga sebenar dengan melihat sendiri perbezaan harga pasaran biasa berbanding harga diskaun antara 20 peratus hingga 30 peratus yang ditawarkan," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

​Hadir sama, Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Iklan

Muhammad Nasir (tengah) menyampaikan barangan keperluan kepada mereka yang hadir sempena Sambutan Hari Koperasi Sekolah, Hari Kokurikulum, Hari TVET dan Hari Seni dan Budaya di SMK Pelagat, Jertih, Besut, baru-baru ini.

​Mengulas lanjut, Mohd Fakaru Azhar memberitahu, pelbagai lapisan masyarakat termasuk guru dan ibu bapa tidak melepaskan peluang keemasan itu untuk mendapatkan barangan keperluan harian pada harga yang jauh lebih rendah daripada pasaran.

Iklan

​"Sebagai contoh, beras seberat 5 kilogram (kg) dijual pada harga hanya RM12.50 berbanding harga asal RM18.00. Penjimatan seumpama ini sekali gus amat membantu mengurangkan kos sara hidup buat masa sekarang," jelas beliau.

​Katanya lagi, program berkenaan yang diadakan sempena Sambutan Hari Koperasi Sekolah, Hari Kokurikulum, Hari TVET dan Hari Seni dan Budaya di sekolah berkenaan mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila berjaya menarik kehadiran lebih 800 pengunjung.

​"Program ini diadakan sempena Festival Pesona Budaya Warisan peringkat negeri Terengganu dan Hari Koperasi Sekolah anjuran SMK Pelagat yang berlangsung selama dua hari di pekarangan sekolah bermula semalam," ujarnya.

​Festival yang julung-julung kali dianjurkan oleh pihak sekolah itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik lain termasuk pertandingan dikir barat antara sekolah dan sukan rakyat.

Selain itu, persembahan kebudayaan, pertandingan ayam serama, masakan tradisional, pertandingan deklamasi sajak serta pameran daripada pelbagai agensi kerajaan.