KUALA NERUS –"Demi menyara isteri dan dua anak yang masih kecil, saya tebalkan muka pinjam kereta Proton Iswara milik ibu untuk angkut sampah dari rumah ke rumah.
Demikian luahan seorang bapa, Muhamad Firdaus Mohd Rafi, 29, yang sanggup mengetepikan rasa malu demi mencari rezeki halal sebagai pemotong rumput dan menyediakan khidmat membuang sampah dari rumah.
Anak jati Setiu yang kini menetap di Kampung Telaga Batin di sini berkata, fasa sukar dalam hidupnya bermula setahun lalu apabila mengambil keputusan berhenti menjual air di tepi jalan selepas isterinya melahirkan cahaya mata kedua.
Menceritakan detik awal melakukan pekerjaan itu, Muhamad Firdaus mengakui pernah buntu apabila tidak mempunyai wang langsung untuk membeli makanan dan membayar hutang selepas beberapa hari tidak bekerja.
"Waktu itu memang tak ada duit langsung. Isteri saya kemudian terfikir apa aktiviti di rumah yang boleh mendatangkan hasil.
"Selepas lihat saya membuang sampah di rumah kami, isteri cadang saya pergi ambil upah buang sampah rumah orang, satu trip RM15. Dari situ saya terfikir dan mula mengiklankan perkhidmatan ini di Facebook," katanya kepada Sinar Harian di sini.
Muhamad Firdaus berkata, dia bersyukur kerana platform itu membuka jalan apabila menerima mesej pelanggan melalui WhatsApp yang mahu menggunakan khidmat membuang sampah dan mesin rumput.
Bapa kepada dua cahaya mata berusia lima tahun dan 12 bulan itu berkata, dia meletakkan tiga niat utama ketika memulakan kerja tersebut iaitu untuk memudahkan urusan orang bekerja, mencari nafkah keluarga, dan menyimpan impian memiliki kenderaan sendiri seperti lori atau trak bagi menambah baik perkhidmatan.
Muhamad Firdaus berkata, dia hanya bergantung sepenuhnya kepada kereta Proton Iswara milik ibunya kerana tidak mempunyai sebarang kenderaan lain termasuk motosikal untuk mengutip sampah di sekitar Gong Badak, Wakaf Tengah, dan Gong Pok Jin.
Katanya, antara cabaran getir terpaksa dilalui apabila kereta tersebut bukan sahaja tiada pendingin hawa, malah tingkapnya juga tidak boleh dibuka.
Mengimbas kembali situasi mencabar dilalui, katanya, dia pernah berdepan detik cemas apabila kereta itu pernah terjatuh ke dalam lubang ketika mahu membuang sampah di tong besar.
"Masa itu saya memang tak mampu nak panggil towing (trak tunda) sebab dalam dompet hanya ada RM40 sahaja. Mujurlah ada insan yang baik hati berhenti dan bantu tarik kereta saya guna Hilux dia," ujarnya.
Muhamad Firdaus berkata, hasil pendapatan daripada upah membuang sampah itu adakalanya sekadar cukup-cukup makan untuk keluarganya bertahan.
"Hasil mendapat duit buang sampah itu, lepaslah untuk isi minyak kereta dan membeli makanan untuk anak isteri bagi tempoh satu malam sahaja," katanya.
Bagaimanapun, di sebalik keperitan itu, dia mengakui bertuah kerana dikelilingi pelanggan yang begitu memahami dan menghargai penat lelahnya.
"Tapi syukurlah, layanan tuan rumah memang memuaskan. Ada masa mereka menghargai usaha saya dan memberikan duit lebih.
"Saya harap dengan usaha ini, saya akan dapat menambah baik lagi perkhidmatan dan mempunyai pengangkutan yang sempurna," katanya lagi.
Ditanya mengenai perancangan masa depan, Muhamad Firdaus berkata, dia dan isterinya sebenarnya meminati bidang perniagaan dan memasang impian yang besar sekiranya mempunyai modal suatu hari nanti.
"Kami sekeluarga memang suka berniaga. Isteri saya hari-hari beritahu saya, kalau ada modal dia teringin sangat nak menjadi usahawan berjaya. Dia selalu berdoa semoga kami semoga kami sekeluarga sentiasa dimurahkan rezeki," katanya.