PERLAWANAN Kumpulan E Piala Dunia 2026 antara Ecuador dan Jerman dicemari kontroversi Video Bantuan Pengadil (VAR) seawal minit kedua apabila gol Leroy Sane dibenarkan kekal walaupun berlaku insiden yang dipertikaikan, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai tahap campur tangan teknologi itu.
Insiden bermula apabila pemain Jerman, Aleksandar Pavlovic melakukan sepakan tinggi yang terkena kepala Pedro Vite dalam perebutan bola di kawasan tengah padang.
Namun, pengadil dari Amerika Syarikat, Tori Penso tidak merujuk insiden berkenaan kepada VAR untuk semakan di monitor tepi padang.
Jaringan awal Sane hasil rembatan leret dari luar kotak penalti menerusi hantaran Florian Wirtz kekal disahkan, meskipun pemain Ecuador membantah keras keputusan tersebut.
Pengulas BBC, Alan Shearer menyifatkan keputusan itu sebagai mengelirukan dengan menegaskan sentuhan kecil pada kepala pemain sepatutnya cukup untuk sekurang-kurangnya membuka ruang semakan VAR.
“Saya melihat ada sentuhan kecil pada muka pemain itu dan saya fikir itu cukup untuk sekurang-kurangnya dirujuk kepada VAR,” katanya.
Bekas pemain England, Ellen White pula mempersoalkan konsistensi pengadilan dengan menyatakan sama ada sesuatu insiden perlu menjadi lebih serius sebelum dianggap sebagai pelanggaran.
“Adakah perlu sampai ada darah baru ia dianggap berbahaya dan semak VAR? Pemain jelas mengelak kerana risiko kecederaan,” katanya.
Sementara itu, Joe Hart turut melahirkan rasa tidak percaya terhadap keputusan tidak menggunakan semakan VAR, sambil menyifatkan situasi kaki tinggi yang melepasi paras bahu sebagai tindakan berisiko dan boleh diklasifikasikan sebagai permainan berbahaya.
“Apabila kaki diangkat tinggi dan terkena pemain lawan, itu situasi yang membahayakan. Kami tidak percaya ia tidak dibawa kepada semakan VAR,” kata bekas penjaga gol England itu.
Perdebatan turut merujuk kepada tafsiran Lembaga Peraturan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) yang menyatakan sepakan percuma terus boleh diberikan bagi kes permainan berbahaya yang melibatkan sentuhan dengan lawan, termasuk situasi kaki tinggi yang mengenai kepala.
Definisi permainan berbahaya turut merangkumi tindakan yang berpotensi mencederakan lawan atau menyebabkan pemain lain mengelak daripada mencabar bola kerana risiko keselamatan.
Bagaimanapun, bekas pembantu pengadil Liga Perdana Inggeris, Darren Cann menyokong keputusan VAR untuk tidak campur tangan dalam insiden tersebut, walaupun pandangan berbeza terus timbul dalam kalangan pemerhati.
Walaupun perdebatan berterusan, Ecuador akhirnya mencipta kejutan apabila bangkit menewaskan Jerman 2-1, sekali gus mara ke pusingan kalah mati walaupun menamatkan saingan di tempat ketiga kumpulan.