BEIJING - Tular video memaparkan sebuah robot manusia yang melutut di tepi jalan di wilayah Sichuan, China bukan kerana keupayaannya, tetapi disebabkan gelagatnya yang seolah-olah 'meminta sedekah'.
Klip berkenaan yang tersebar di pelbagai platform media sosial menunjukkan robot itu merapatkan tangan dan menunduk ke arah orang ramai.
Di sisinya turut diletakkan sebuah pinggan kecil untuk sumbangan tunai serta kod QR bagi pembayaran digital.
Sebuah papan LED dan pembesar suara pada robot tersebut berulang kali memaparkan mesej: 'Tiada wang untuk mengecas' dan 'Sila bantu bayar bil elektrik'.
Menurut laporan, ia merupakan model Unitree G1 keluaran syarikat robotik China, Unitree Robotics.
Sebelum ini, robot manusia model G1 keluaran syarikat sama turut menjadi perhatian selepas dilaporkan memanjat Gunung Chimborazo di Ecuador.
Kejadian itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
"Pengemis pun kini digantikan oleh robot,” seloroh seorang pengguna media sosial.
Ada juga yang melihat ia sebagai strategi pemasaran, karya seni persembahan atau cara baharu untuk menjana pendapatan.
Beberapa individu dalam video turut dilihat menyumbang wang tunai dan mengimbas kod QR yang dipaparkan.
Kejadian itu dikatakan bukan kes terpencil memandangkan 'robot pengemis' turut dikesan di Beijing, Chengdu dan Fuzhou dengan mesej serupa seperti 'tiada wang untuk mengecas telefon' serta kod pembayaran digital. - Agensi