KOTA MARUDU - Hanya kerana mengesyaki isterinya berbual dengan jiran lelaki, seorang lelaki bertindak ganas sehingga menyebabkan wanita itu parah akibat ditetak dalam kejadian di Kampung Mangkupa, di sini, pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa berusia 40 tahun mengalami kecederaan pada bahagian dagu, leher, kedua-dua tangan dan lutut selepas dipercayai diserang suaminya sendiri yang berusia 50 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Simiun Lomidin berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perasaan cemburu suspek berusia 50 tahun terhadap mangsa.
"Semasa kejadian, mangsa keluar ke halaman rumah untuk melihat keadaan di luar sebelum ditegur suspek yang melarangnya berbual dengan jiran lelaki.
"Mangsa menafikan dakwaan tersebut dan berlaku pertengkaran mulut antara mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau berkata, anak saudara mangsa yang berada di dalam rumah ketika kejadian melihat suspek menuju ke dapur untuk mengambil sebilah parang sebelum berjalan ke arah mangsa yang berada di hadapan rumah.
"Susulan itu, saksi terus masuk ke dalam bilik dan bersembunyi bersama anak-anak mangsa," katanya.
Menurutnya lagi, saksi kemudian terdengar jeritan mangsa meminta pertolongan sebelum mendengar bunyi seseorang berlari ke arah dapur dan membuka pintu belakang rumah.
"Saksi kemudian keluar dari bilik dan mendapati mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah di hadapan rumah jiran.
"Seorang jiran yang baru pulang dari ladang getah turut melihat mangsa dalam keadaan tersebut sebelum menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan," katanya.
Simiun berkata, siasatan lanjut di hospital mendapati suspek bukan sahaja cemburu pada hari kejadian, malah sering menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan jiran-jiran, namun dakwaan itu dinafikan mangsa.
"Mangsa memaklumkan dia bergelut dengan suspek di halaman rumah ketika suspek meletakkan parang pada lehernya.
"Dalam masa sama, mangsa cuba menahan libasan parang menggunakan kedua-dua tangannya sehingga mengalami kecederaan pada kedua-dua tangan, bawah dagu, kening dan lutut.
"Selepas melihat mangsa berlumuran darah, suspek dipercayai menjadi takut lalu melarikan diri dari lokasi kejadian," katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian bangun dan mendapatkan bantuan daripada jiran yang tinggal berhampiran.
"Suspek yang juga warga Indonesia kini sedang diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
"Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan akan dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.