'Bukan sebab anak, lakukan 'kamikaze' demi sedarkan pemimpin' - Puad Zarkashi

Iklan
Puad Zarkashi dan hantaran di Facebook pada Khamis.

SHAH ALAM - Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan tindakannya keluar parti bukan kerana tidak puas hati anaknya tidak dipilih sebagai calon, sebaliknya keputusan kamikaze tersebut diambil bagi menyedarkan kepimpinan mengenai kelemahan sistem pemilihan calon.

Menurutnya, tindakan tersebut diambil selepas bantahannya terhadap proses pemilihan calon tidak mendapat perhatian sehingga menyebabkan beliau tiada pilihan selain mengambil pendirian berkenaan.

Iklan
Iklan

Mohd Puad mempersoalkan keputusan mengetepikan Ketua Puteri UMNO Johor yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Mersing dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Mersing demi memberi laluan kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Endau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

"Itu juga yang berlaku kepada Saudara Azizul Bachok bekas ADUN Tiram. Dia orang muda. Dia baru sepenggal jadi YB. Di saat terakhir dia digugur dan diganti oleh YB Senator Halim Sulaiman yang berumur 64 tahun. Tidakkah itu kronisme.

Iklan

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa keputusan Mohd Puad meninggalkan parti itu mempunyai kaitan dengan kegagalan anak bekas pemimpin itu dipilih sebagai calon bagi kerusi DUN Rengit dalam PRN Johor.

Menurut Mohd Puad, Asyraf Wajdi sebelum ini mendakwa bahawa beliau keluar parti kerana tidak puas hati anaknya tidak menjadi calon dan bukan disebabkan UMNO Johor tidak bebas dan terikat dengan pihak tertentu.

Iklan

"Cuba Asyraf dedahkan sebelum ahli UMNO sendiri dedahkan. Kenapa Puan Alwiyah Talib bekas ADUN Endau dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) umum keluar Bersatu kemudian masuk balık UMNO, tiba tiba tak sampai sebulan, dipilih sebagai calon BN DUN Endau," ujarnya.

Mengulas dakwaan bahawa beliau tidak berpuas hati kerana anaknya gagal dipilih sebagai calon, Mohd Puad berkata, tiada salahnya beliau mencadangkan anak sendiri yang disifatkan telah bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut.

"Mengenai anak saya, salahkah kalau saya mencadangkannya? Kenapa itu jadi isu? Kalau tidak boleh, kenapa anak perempuan Ketua Bahagian Ledang boleh bertanding di Serom.

"Tidak salah mencadangkan anak yang terlatih sebagai calon. Ali melatih anak perempuannya menjadi peninju. Sudah tentu anak itu dibawa masuk gelanggang setelah dia cukup bersedia untuk bertempur," jelasnya lagi.

Mohd Puad turut memberi bayangan akan membuat pendedahan lanjut mengenai proses pemilihan calon serta dakwaan melibatkan pelantikan ahli keluarga pemimpin UMNO di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam hantaran berasingan.