Bayi 11 bulan maut, jatuh kerusi rumah pengasuh

Iklan
Manga dipercayai terjatuh dari kerusi ketika disuap makan di rumah pengasuh di Taman Permaipura Ceria, Bedong. Foto hiasan

SUNGAI PETANI - Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada Khamis.

Manga dipercayai terjatuh dari kerusi ketika disuap makan di rumah pengasuh di Taman Permaipura Ceria, Bedong, Isnin lalu.

Iklan
Iklan

Bayi tersebut sebelum itu dilaporkan tidak sedarkan diri selepas kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.15 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada bapa mangsa.

Iklan

Menurutnya, pengadu memaklumkan menerima panggilan telefon daripada pengasuh yang memberitahu anaknya terjatuh dari sebuah kerusi kecil ketika sedang disuap makan.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 11 bulan itu dijaga oleh pengasuh terbabit di rumahnya di Taman Permaipura Ceria, Bedong sebelum kejadian berlaku.

Iklan

Beliau berkata, mangsa yang menerima rawatan sejak kejadian itu disahkan meninggal dunia pada jam 10.42 pagi Khamis ketika dirawat di HSB.

Difahamkan, mangsa merupakan anak tunggal kepada pasangan suami isteri yang kedua-duanya bekerja sebagai jururawat di hospital swasta.

Hanyan berkata, seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang dipercayai pengasuh kepada mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan.

"Suspek dijangka dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi melengkapkan siasatan kes pada Jumaat," ujarnya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.