Gempa bumi kuat: Warga Malaysia di Venezuela selamat

Iklan
Gempa bumi berlaku kira-kira 21 kilometer dari Moron dan 168 kilometer ke barat ibu kota, Caracas. Foto AFP

PUTRAJAYA - Semua rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kementerian Luar dan kini berada di Venezuela didapati selamat, selepas dua gempa bumi kuat melanda tengah Venezuela pada Rabu.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, kementerian itu yang turut dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan, pihaknya sedang memantau teliti perkembangan susulan gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 pada skala Richter.

Iklan
Iklan

Pada ketika ini, menurut kementerian, pihak berkuasa Venezuela masih menilai keadaan dan belum menentukan jumlah korban serta tahap kerosakan sepenuhnya.

"Kedutaan terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan terus memantau keadaan,” menurut kenyataan itu.

Iklan

Wisma Putra berkata, rakyat Malaysia yang melawat atau tinggal di kawasan terjejas dinasihatkan supaya berhati-hati, terus berwaspada dan mematuhi semua arahan keselamatan serta kemas kini yang dikeluarkan oleh perkhidmatan kecemasan tempatan.

Ia menggesa semua warga Malaysia yang belum mendaftar kehadiran mereka supaya berbuat demikian dengan segera melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my.

Iklan

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular segera, atau ingin memberikan maklumat mengenai warga Malaysia lain yang mungkin berada di kawasan terjejas, digesa menghubungi Kedutaan Malaysia di Caracas pada talian (+58-212) 720 4257 atau (+58-424) 222 1338, atau menerusi e-mel di mwcaracas@kln.

Wisma Putra berkata, ia akan terus menyediakan maklumat terkini mengikut keperluan.

Terdahulu, gempa bumi berlaku kira-kira 21 kilometer dari Moron dan 168 kilometer ke barat ibu kota, Caracas.

Gegaran itu dirasai secara meluas di seluruh negara, termasuk Caracas serta negeri Trujillo, Carabobo, Miranda dan La Guaira, mengakibatkan kerosakan struktur. - Bernama