Wawasan tidak cedok perlembagaan parti lain – Hamzah Zainudin

Iklan
Datuk Seri Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Parti Wawasan Negara (Wawasan) memaklumkan parti itu tidak pernah meniru atau ‘mencedok’ perlembagaan parti politik lain sebaliknya masih mengekalkan perlembagaan asal selepas proses penjenamaan semula dilakukan baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perubahan yang dibuat hanya melibatkan nama dan jenama parti yang asalnya dikenali sebagai Parti Cinta Malaysia (PCM) sementara keseluruhan struktur perlembagaan sedia ada dikekalkan.

Iklan
Iklan

Katanya, terdapat pihak yang tidak memahami proses yang dilaksanakan sehingga menimbulkan dakwaan kononnya Wawasan mengambil perlembagaan daripada parti lain.

“Kita tidak mengubah mana-mana perlembagaan pun... yang kita ubah hanyalah nama dan jenama parti itu. Yang lain masih kekal.

Iklan

“Jangan persoalkan seolah-olah kami ini mengambil atau mencedok perlembagaan orang (parti) lain. Itu tidak berlaku,” kata beliau pada sidang media di pejabat beliau di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, PCM bukanlah sebuah parti baharu sebaliknya telah ditubuhkan pada Jun 2009.

Iklan

Ujar bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, parti tersebut juga sebuah parti yang sah dan tidak pernah pun menjadi masalah kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Apabila kita mengambil alih (PCM), bermakna pimpinan yang baharu. Ia bukan mengambil alih (menukar) parti. Ia cuma mengambil alih daripada kepimpinan parti (sedia ada).

“Tidak menjadi masalah untuk mana-mana mereka yang telahpun diterima sebagai anggota parti dan akhirnya diterima sebagai pimpinan parti. Orang lain bukan ahli parti nak mempersoalkan perkara ini kenapa?

“Saya rasa kerana mereka mahu melihat supaya apa yang saya lakukan ini adalah sesuatu yang baik, mengikut perundangan dan untuk memperingatkan saya. Sebab bagi mereka saya pun dipecat mengikut perundangan,” sindirnya.

Selasa lalu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilapor berkata, parti tersebut membantah tindakan Perikatan Nasional (PN) menerima PCM sebagai anggota baharu gabungan itu.

Beliau memaklumkan, bantahan dibuat atas dasar PN sedang menghadapi masalah sesama parti komponen dan penerimaan terhadap parti baharu hanya akan menyulitkan masalah dalaman sedia ada.

Katanya lagi, berdasarkan semakan dibuat pihaknya setakat Isnin, perubahan barisan kepimpinan dan perubahan nama PCM kepada Wawasan belum diluluskan oleh RoS.