SHAH ALAM - Selepas Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Bersama Malaysia (Bersama) turut mengambil langkah memperkukuh integriti calon apabila mewajibkan kesemua 15 calonnya bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mengisytiharkan harta, selain menandatangani beberapa aku janji termasuk bon penalti RM2 juta.
Menerusi kenyataan bersama ditandatangani Presiden Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Timbalannya, Nik Nazmi Nik Ahmad pada Khamis, semua calon turut dikehendaki menandatangani empat akujanji secara Akuan Bersumpah dan satu surat peletakan jawatan secara bersyarat, selain pengisytiharan harta,
Antaranya, Akuan bersumpah bersetuju dengan akujanji untuk tidak lompat parti, tidak mengosongkan kerusi, hadir ke mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan prestasi-prestasi lain, serta bon penalti RM2 juta sekiranya melanggar akujanji.
"Selain itu, Akujanji untuk meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi DUN sekiranya dipecat atau berhenti sebagai ahli Bersama, selain menandatangani surat peletakan jawatan yang akan dipegang parti.
"Calon juga perlu beraku janji memulangkan wang deposit dibayar kepada Bersama, mengesahkan kelayakan mereka sebagai calon di sisi undang-undang dan mengisytiharkan penyata harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan melalui akuan bersumpah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dilaporkan menandatangani perjanjian yang menetapkan bon sebanyak RM100 juta sekiranya melompat parti.
Selain itu, PKR sebelum ini turut menetapkan bon RM10 juta yang boleh dikuatkuasakan sekiranya wakil rakyatnya meletakkan jawatan daripada parti, menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Menurut kenyataan itu, semua 15 calon Bersama telah bersetuju menandatangani set akuan bersumpah berkenaan dan dijangka menyerahkannya kepada parti sebelum jam 12 tengah hari, Jumaat.
Pengisytiharan penyata harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan setiap calon pula akan dimuat naik ke laman sesawang parti pada jam 10 malam, Jumaat untuk semakan orang ramai.
"Selain pengisytiharan harta calon, Bersama juga akan mengisytiharkan penyata perbelanjaan serta sumber dana kempen PRN Johor selepas kempen berakhir dalam tempoh dua minggu," tambah kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, Bersama memberitahu, calon-calon parti berkenaan dijadual diumumkan pada pukul 8 malam, Jumaat di Paragon Market Place, Kampung Baru Majidee bersempena pelancaran Trak Kancil yang akan digunakan sepanjang kempen PRN Johor.
Dalam pada itu, parti-parti lain yang bertanding pada PRN Johor turut digesa mengisytiharkan harta calon masing-masing bagi mengukuhkan amalan politik berintegriti.