KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan mengesahkan perolehan sistem artileri gerak sendiri (SPH) CAESAR 155mm dari Perancis.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, aset baharu itu merupakan usaha memperkukuhkan keupayaan artileri ketenteraan negara.
"Kami mengesahkan dan telah bersetuju dengan perolehan itu.
"Ia menjadi satu lagi aset yang ditambah dalam persenjataan kami," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026-2030 di sini pada Khamis.
Mohamed Khaled berkata, butiran mengenai tempoh masa penghantaran pertama akan diumumkan kemudian.
"Kami tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan," tambahnya.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan (MOF) dilaporkan telah meluluskan perolehan berkenaan pada tahun 2024, namun Kementerian Pertahanan diminta merunding semula harga sistem artileri tersebut sebelum dimuktamadkan.
MOF juga memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi fasa pertama pemerolehan pada November 2025 dan proses berkenaan dijangka dimuktamadkan tahun ini.
Dilaporkan Malaysia menjadi negara ke-15 memperoleh sistem artileri CAESAR.
Sistem SPH itu berupaya melepaskan enam das dalam tempoh kurang satu minit pada jarak 40 kilometer, selain boleh berpindah kedudukan dalam tempoh kurang dua setengah minit.
Syarikat pertahanan pan-Eropah terkemuka, KNDS menyatakan, pesanan 18 sistem CAESAR dalam konfigurasi rejimen itu menyumbang kepada pengukuhan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).