KUALA LUMPUR – Dewan Muslimat Pas Malaysia (DMPM) menyuarakan bantahan terhadap larangan pemakaian tudung di sekolah di Azerbaijan ketika mengadakan kunjung hormat ke Kedutaan Azerbaijan di sini.
Ketua DMPM, Nuridah Mohd Salleh berkata, isu berkenaan menimbulkan kebimbangan berkaitan kebebasan beragama dan hak pelajar Muslim mengamalkan tuntutan agama dalam persekitaran pendidikan.
Kunjungan itu turut membuka ruang dialog dua hala mengenai isu kemasyarakatan, pembangunan dan pemerkasaan wanita serta hal ehwal antarabangsa.
Delegasi DMPM turut disertai Timbalan Ketua DMPM, Dr Rosni Adam; Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa DMPM yang juga Ahli Parlimen Tumpat, Mumtaz Md Nawi; serta Ahli Jawatankuasa DMPM, Dr Siti Aminah Muhammad Imran.
Turut hadir Pengerusi Sekretariat Tugas-Tugas Khas Wanita UMNO Malaysia, Datuk Waheeda Farus dan Ketua Wanita Wawasan Negara, Dayang Saniah Awang Hamid, selain wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk I-Aware, INSPIRE, Siswa Pas dan Negarawati.
Menurut DMPM, pertemuan itu bukan sekadar platform menyampaikan bantahan, malah menjadi ruang pertukaran pandangan mengenai perkembangan semasa Azerbaijan serta isu yang memberi kesan kepada kesejahteraan masyarakat.
Perbincangan turut menyentuh peranan wanita dalam pembangunan masyarakat, khususnya dalam bidang pendidikan, kebajikan, pembangunan keluarga dan kepimpinan komuniti.
DMPM berharap perkongsian pengalaman dan pandangan antara kedua-dua pihak dapat membina persefahaman serta membuka peluang kerjasama lebih luas dalam usaha memperkasakan wanita dan institusi keluarga.
Dalam pada itu, DMPM menegaskan keamanan, keadilan, keharmonian dan penghormatan terhadap maruah insan perlu menjadi asas dalam membina hubungan antarabangsa yang saling menghormati.
DMPM turut berharap pertemuan berkenaan menjadi titik permulaan kepada dialog konstruktif dan berterusan antara Malaysia dengan Azerbaijan bagi mencari penyelesaian yang menghormati kebebasan beragama serta hak asasi manusia.
Menurutnya, pendidikan sewajarnya menjadi ruang membina ilmu dan masa depan, bukannya medan yang menyebabkan pelajar berdepan sekatan kerana pegangan agama mereka.
"DMPM menegaskan suara wanita perlu terus diangkat dalam memperjuangkan hak dan kebebasan beragama, termasuk memastikan hak pelajar Muslim dihormati dalam sistem pendidikan," katanya.