Lelaki mengaku rakam kakak ipar dalam tandas

Iklan
Seorang juruwang didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Khamis. Foto hiasan

KOTA BHARU - Seorang juruwang didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan merakam video kakak iparnya di dalam tandas di sebuah pasar mini, tempat mereka bekerja menggunakan pen perakam pada minggu lalu.

Tertuduh yang berusia 29 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan telah merakam seorang wanita berusia 30 tahun sedang menyelak baju ketika berada di dalam tandas tanpa pengetahuan mangsa dengan menggunakan kamera perakam untuk mengganggu kesantunannya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah pasar mini di Kampung Kor, Batu 8 dekat Jalan Kuala Krai di sini kira-kira jam 1 tengah hari pada 19 Jun 2026.

Iklan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Roshayati Hassan.

Iklan

Terdahulu Muhammad Nadzir memohon hukuman setimpal kerana kejadian tersebut menyebabkan mangsa malu akibat perbuatan tertuduh.

"Tertuduh mempunyai ikatan kekeluargaan dengan mangsa dan mereka berdua juga bekerja di tempat yang sama. Justeru, mohon hukuman setimpal yang memberi pengajaran kepada tertuduh," katanya.

Roshayati dalam rayuannya memohon denda yang minimum dengan alasan tertuduh yang bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar mini hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM1,200 sebulan.

"Tertuduh yang masih bujang sudah insaf dengan perbuatan tersebut dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang," katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan sembilan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.