GEORGE TOWN – Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta yang diletakkan di Jalan Lintang Merdeka di sini pada Khamis.
Mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih empat hari sebelum mayatnya ditemui.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di dalam kenderaan berkenaan kira-kira jam 9.50 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian disedari oleh seorang pekerja pembersihan pada jam 9.30 pagi selepas melihat sebuah kereta berada dalam keadaan mencurigakan di lokasi tersebut sebelum menghubungi polis.
“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 55 tahun yang berasal dari Bukit Mertajam.
“Mangsa ditemui berada di tempat duduk pemandu dalam keadaan berpakaian lengkap dan kenderaan tersebut tidak berkunci,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di badan mangsa serta di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
"Mangsa juga mempunyai rekod penyakit kronik dan sedang menerima rawatan di hospital sebelum ini.
“Berdasarkan keadaan mayat, kematian dianggarkan telah berlaku melebihi empat hari sebelum ditemui,” katanya.
Tambah beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk menjalani bedah siasat bagi menentukan punca kematian.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.