Dituduh ganggu teman wanita, pelajar ditendang rakan sekolah

Iklan
Rakaman kejadian seorang pelajar lelaki yang ditendang rakan sekolahnya

ALOR SETAR – Rakaman kejadian seorang pelajar lelaki yang ditendang rakan sekolahnya baru-baru ini yang tular di media sosial telah membongkar kejadian tersebut yang sebelum ini cuba dirahsiakan oleh mangsa.

Kejadian yang berlaku di Padang Bola Taman Uda di sini pada 16 Jun lalu hanya diketahui pihak sekolah dan keluarga mangsa selepas video berkenaan tersebar di media sosial.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.35 tengah hari, 20 Jun lalu daripada bapa mangsa yang berusia 53 tahun.

Tangkap layar video kejadian pada 16 Jun lalu yang tular di media sosial.

Iklan

Menurutnya, pengadu memaklumkan beliau mengetahui mengenai kejadian tersebut selepas dimaklumkan oleh anak saudaranya berhubung rakaman video yang memaparkan anak lelakinya berusia 14 tahun dipukul oleh dua individu ketika bermain bola.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang pada 16 Jun lalu dan rakaman video tersebut kemudiannya menjadi tular di media sosial.

Iklan

“Mangsa dan kedua-dua suspek merupakan kenalan sejak darjah satu serta menetap di kawasan perumahan yang berhampiran. Mereka juga belajar di sekolah dan kelas yang sama,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian itu tidak pernah berlaku sebarang perselisihan atau masalah antara mangsa dan kedua-dua suspek.

Pihak sekolah dan waris hanya mengetahui kejadian tersebut selepas rakaman video berkenaan menjadi tular di media sosial.

Menurutnya, berdasarkan keterangan mangsa, salah seorang suspek bertindak memukul dan menendangnya selepas menerima maklumat daripada rakannya bahawa mangsa didakwa mengganggu teman wanita suspek berkenaan namun dinafikannya.

“Hasil siasatan mendapati salah seorang suspek telah menendang mangsa sekali di bahagian perut sehingga menyebabkan mangsa rebah ke tanah.

“Suspek yang sama kemudian menendang mangsa sekali lagi di bahagian sisi badan ketika mangsa berada di atas tanah,” ujarnya.

Jelasnya, seorang lagi suspek yang berada berhampiran turut menolak mangsa menggunakan kaki sehingga menyebabkan mangsa terjatuh lebih jauh namun menurut mangsa, hanya seorang suspek yang menendangnya.

Tambah beliau, mangsa yang tidak mengalami kecederaan tidak memaklumkan kejadian itu kepada pihak sekolah mahupun ibu bapanya kerana tidak mahu membesarkan isu berkenaan.

“Pihak sekolah dan waris hanya mengetahui kejadian tersebut selepas rakaman video berkenaan menjadi tular di media sosial oleh individu yang tidak dikenali.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan,” katanya lagi.