PELABUHAN KLANG- "Saya tak ingat tarikh lahir, umur pun saya sudah lupa."
Itu helah seorang wanita yang dipercayai menggunakan kad pengenalan palsu ketika diperiksa dalam serbuan Ops Kisar di sebuah kilang makanan sejuk beku di Pulau Indah, di sini pada Rabu.
Bagaimanapun, taktik wanita yang dipercayai berasal dari Indonesia itu terbongkar selepas pemeriksaan mendapati nombor MyKad yang dikemukakannya tidak sepadan dengan maklumat umur dan bulan kelahirannya.
Pada awalnya, wanita terbabit mendakwa berasal dari Sabah, namun gagal menjawab soalan berkaitan tarikh lahir, umur serta bulan kelahirannya ketika disoal pegawai penguat kuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Dia mendakwa berusia dalam lingkungan 30-an, namun semakan lanjut berdasarkan nombor MyKad yang dikemukakan mendapati individu itu usia lain, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap identitinya.
Dalam operasi sama, seorang lagi wanita mendakwa memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan Malaysia serta bekerja di kilang berkenaan sejak lebih setahun.
Namun, dia gagal menyebut nama penuh ibu bapanya walaupun ditanya beberapa kali oleh pegawai penguat kuasa.
Pemeriksaan terhadap telefon bimbit wanita itu turut menemukan gambar beberapa keping MyKad.
Ketika disoal, dia pada mulanya mendakwa kad berkenaan milik ibu saudaranya sebelum menukar kenyataan dengan mengatakan ia milik anak saudaranya.
Sementara itu, Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi seumpama itu bagi meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai tanggungjawab menjaga kedaulatan negara.
Menurutnya, usaha tersebut bukan hanya menyasarkan individu, malah pemilik kilang dan industri supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan pekerja yang diambil bekerja menggunakan dokumen pengenalan yang sah.
"Kita akan terus melaksanakan operasi seperti ini bagi memberi kesedaran bahawa tanggungjawab menjaga kedaulatan negara adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya terletak kepada agensi penguat kuasa.
"Harapan JPN ialah supaya semua pihak, sama ada warganegara, bukan warganegara mahupun pemilik industri, memainkan peranan masing-masing dan memberikan kerjasama sepenuhnya.
"Jika semua melaksanakan tanggungjawab masing-masing, saya percaya kesalahan seperti yang dikesan dalam operasi ini dapat dielakkan," katanya dalam sidang akhbar selepas operasi pada Rabu.
Mengulas tindakan terhadap majikan yang menggaji individu menggunakan MyKad milik orang lain, beliau berkata, tindakan boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang di bawah agensi berkaitan.
"Saya dimaklumkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan mengambil tindakan terhadap pihak kilang mengikut peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa mereka.
"Bagi pihak JTK, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 24(d) Akta 446, tindakan juga boleh diambil bagi kesalahan di bawah Akta Kerja termasuk potongan gaji yang tidak mengikut peraturan, kompaun yang boleh dikenakan adalah sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa perbuatan meminjamkan atau menggunakan MyKad milik orang lain merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.
"Tiada sesiapa dibenarkan menggunakan atau membawa kad pengenalan milik orang lain walau apa jua tujuannya, mengikut Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara, perbuatan menggunakan atau membawa kad pengenalan milik orang lain adalah satu kesalahan," katanya.