20 juta tong minyak mentah lepasi Selat Hormuz dalam 24 jam - SU Tenaga AS

Iklan
Selat Hormuz adalah salah satu laluan minyak penting dunia, dengan minyak mentah dan eksport gas asli cecair daripada pengeluar Teluk menempuhi laluan air yang sempit itu. Foto: Ilustrasi AI- Agensi

ISTANBUL - Kira-kira 20 juta tong minyak mentah telah keluar dari Selat Hormuz dalam 24 jam terakhir menerusi 72 kapal, kata Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat (AS) Chris Wright pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi.

Washington akan memastikan aliran minyak melintasi laluan air utama itu walaupun tanpa perjanjian dengan Iran, Wright memberitahu Forum Tenaga Global Reuters di New York.

Iklan
Iklan

"Kami mempunyai aliran biasa hari ini," kata Wright, sambil menambah jumlah itu adalah serupa dengan paras aliran terkini susulan perjanjian awal AS-Iran untuk menamatkan konflik.

"Iran tidak akan mempunyai keupayaan untuk menutup Selat Hormuz pada masa hadapan. Itu perkara yang penting, itulah kelebihan utama mereka, dan kami mengambil pengaruh itu daripada mereka," katanya, sambil menambah tentera Iran sudah tiada.

Iklan

Beliau berkata, banyak kapal yang keluar dari selat itu mengelak daripada saluran perkapalan utama kerana risiko berkaitan periuk api dan sebaliknya belayar berhampiran pantai Iran atau di sepanjang laluan selatan berhampiran Oman dengan pengiring tentera.

Bilangan kapal kekal sedikit daripada biasa, tetapi kebanyakan ialah kapal lebih besar, membantu mengekalkan jumlah aliran minyak mentah menghampiri paras sebelum perang, tambahnya.

Iklan

Untuk kembali sepenuhnya ke navigasi biasa masih mengambil masa beberapa minggu, kata Wright, sambil menyatakan bahawa usaha pembersihan periuk api diperlukan di selat itu.

Pergerakan kapal tangki menyeberangi laluan air strategik telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan berikutan perjanjian damai sementara AS-Iran, mengurangkan kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan bekalan dari Teluk Parsi.

Selat Hormuz adalah salah satu laluan minyak penting dunia, dengan minyak mentah dan eksport gas asli cecair daripada pengeluar Teluk menempuhi laluan air yang sempit itu.

Data maritim terkini menunjukkan trafik kapal komersial dan berkaitan tenaga melalui selat itu kekal aktif, manakala lebih banyak kapal tangki memasuki Teluk Parsi untuk mengambil kargo ketika pengeksport berusaha memulihkan aliran.

Harga minyak jatuh minggu ini apabila trafik di selat itu bertambah baik sekali gus mengurangkan premium risiko geopolitik yang telah mendorong harga minyak mentah naik semasa konflik. - Bernama-Anadolu