SHAH ALAM - Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berhak meninggalkan parti itu dan berbeza pandangan dengan kepimpinan parti.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bagaimanapun dakwaan bahawa beliau pernah memaklumkan kepadanya kononnya pihak Istana telah 'mengarahkan' pembubaran Dewan Negeri Johor adalah tidak benar.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan.
"Apa yang saya jelaskan ialah pembubaran tersebut dibuat setelah mendapat titah perkenan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ujarnya, Menteri Besar tidak boleh membubarkan Dewan Negeri Johor sesuka hati.
Menurutnya, pembubaran perlu melalui proses yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan hanya berkuat kuasa setelah mendapat perkenan.
"Saya telah mengadap dan mempersembahkan perkara tersebut. Selepas mendapat perkenan, saya mengumumkan pembubaran Dewan Negeri Johor kepada rakyat secara terbuka.
"Mendapat titah perkenan ialah satu proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik.
"Justeru, amat tidak bertanggungjawab untuk beliau kini memutarbelitkan proses perlembagaan yang sah sehingga mewujudkan persepsi kononnya Institusi Diraja mencampuri urusan dan keputusan politik UMNO Johor," katanya.
Ujarnya, Puad Zarkarshi berhak meninggalkan UMNO dan berbeza pandangan dengan kepimpinan parti, namun kenyataan sedemikian amat serius dan berpotensi menyentuh sensitiviti 3R, khususnya berkaitan Institusi Diraja, selain boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam.
Sehubungan itu, katanya, UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.
"Saya menyeru semua pihak supaya menghormati Institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor serta tidak memperalatkan institusi tersebut dalam pertelingkahan politik," katanya.
Terdahulu, Puad Zarkashi mengumumkan tindakan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta hari ini, sekali gus menamatkan keahliannya dalam parti itu yang disertainya sekian lama.
Beliau menyatakan keputusan tersebut dibuat tanpa sebarang paksaan atau pertimbangan berat, sebaliknya sebagai pendirian peribadi yang telah diputuskan.
Jelas beliau, alasan utamanya keluar parti itu ialah adalah disebabkan UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan selain mendakwa UMNO Johor dikawal dalam membuat keputusan.