Bayar RM350, guna MyKad orang lain taktik dapatkan kerja

Iklan
Pegawai JPN menjalankan semakan awal dalam Ops Kisar di sebuah kilang memproses makanan segera di sini pada Rabu.

PELABUHAN KLANG - Bayaran sekitar RM350 untuk mendapatkan MyKad palsu selain menggunakan identiti individu lain bagi memperoleh pekerjaan antara taktik yang dibongkar menerusi Ops Kisar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sebuah kilang memproses makanan segera di Pulau Indah di sini pada malam Rabu.

Seorang wanita warga Indonesia yang hanya mahu dikenali sebagai Yanti, 40, mendakwa, tidak mengetahui perbuatannya menggunakan kad pengenalan palsu merupakan satu kesalahan, sebaliknya dimaklumkan bahawa kaedah itu akan memudahkan urusannya sepanjang berada di negara ini.

Iklan
Iklan

"Saya ada pasport, tetapi telah tamat tempoh. Bila ada kad pengenalan ini saya rasa lebih selamat, saya kesal sebab tak tahu perbuatan ini satu kesalahan," katanya ketika ditemui di lokasi operasi.

Dalam operasi sama, JPN turut membongkar taktik warga asing menggunakan identiti individu lain bagi mendapatkan pekerjaan.

Iklan

Difahamkan, mereka hanya perlu menunjukkan gambar MyKad yang telah diubah suai menerusi telefon bimbit sebelum didaftarkan sebagai pekerja tanpa semakan terhadap kad fizikal.

Antara individu yang ditahan untuk pemeriksaan pada Rabu.

Iklan

Sinar Harian yang mengikuti operasi itu turut mendapati pelbagai alasan diberikan beberapa individu dipercayai warga asing yang dikesan menggunakan MyKad milik individu lain.

Ada antara mereka mendakwa kad berkenaan dipinjam daripada saudara yang berada di negara ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, operasi dijalankan hasil risikan selama sebulan dengan penglibatan pegawai dan anggota JPN dari Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, selain disertai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Jabatan Tenaga Kerja.

Menurutnya, seramai 61 individu diperiksa, terdiri daripada 25 warga tempatan yang memiliki MyKad dan 36 individu ditahan kerana disyaki menggunakan MyKad palsu atau MyKad milik orang lain untuk bekerja.

"Daripada 36 tangkapan itu, 32 adalah wanita dan empat lelaki berusia antara 18 hingga 50 tahun yang merupakan warga Indonesia," katanya pada sidang akhbar di lokasi operasi.

Badrul Hisham bertanyakan kepada individu yang ditahan untuk pemeriksaan dalam Ops Kisar di sebuah kilang memproses makanan segera di sini pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek menggunakan beberapa modus operandi termasuk meminjam MyKad rakan tanpa sebarang bayaran, menggunakan MyKad milik individu lain dengan menukar gambar pemilik asal serta mendapatkan MyKad palsu yang dijual pada harga sekitar RM350 sekeping.

"Suspek dipercayai mengambil maklumat kad pengenalan, menukar gambar pemilik asal, kemudian menyimpan gambar kad itu dalam telefon sebelum menunjukkannya ketika proses pendaftaran pekerja.

"Kita juga mengesan penggunaan pasport yang telah tamat tempoh selain penyalahgunaan visa, yang merupakan kesalahan di bawah undang-undang imigresen," katanya.

Menurut beliau, terdapat juga kes individu menggunakan MyKad milik orang lain sepenuhnya, manakala sebahagian lagi hanya menukar gambar tetapi mengekalkan nama dan nombor kad pengenalan pemilik asal.

Katanya, pegawai JPN akan merampas semua MyKad palsu yang ditemui bagi dijadikan bahan bukti untuk tujuan siasatan dan pendakwaan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan majikan supaya tidak hanya bergantung kepada gambar dokumen yang dipaparkan melalui telefon bimbit ketika mengambil pekerja.

"Majikan perlu memastikan MyKad yang dikemukakan adalah kad fizikal dan benar-benar milik pemegangnya. Jika pekerja menggunakan pasport, pastikan pasport itu masih sah dan belum tamat tempoh," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

"Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat JPN Putrajaya untuk siasatan lanjut.

"Bagi tindakan JIM pula, seramai 66 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, 33 dikesan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya.