HULU SELANGOR – Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori yang membawa muatan ikan di hadapan sebuah kilang di Batang Kali di sini pada Khamis.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.09 pagi.
"Seramai 12 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu serta bantuan BBP Bukit Sentosa bersama jentera digerakkan ke lokasi yang jaraknya sejauh 21 kilometer," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ashrul Riezal berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 5.39 pagi, mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah lori tiga tan yang membawa muatan ikan dan sebuah motosikal Yamaha Avantis.
"Seorang lagi mangsa yang merupakan kelindan lori berusia 45 tahun mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba," katanya.
Beliau berkata, pasukan bomba menjalankan kerja-kerja menyelamat bagi mengeluarkan pemandu lori yang tersepit sebelum mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut.
"Seorang lelaki berusia 29 tahun yang menunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Mayat penunggang motosikal diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.