Semua pun nak ‘dipistasiokan’ demi rasa premium

Iklan
Hampir semua jenis hidangan ‘dipistasiokan’ atau ditambah dengan rasa pistasio.

DAHULU Merak Jalanan hanya dapat makan kacang pistasio atau kacang cerdik apabila ada ahli keluarga atau rakan kembali dari Tanah Suci.

Tetapi, dunia makanan kini menyaksikan satu trend baharu yang semakin mendapat perhatian terutamanya geng FOMO (Fear Of Missing Out). Hampir semua jenis hidangan ‘dipistasiokan’ atau ditambah dengan rasa pistasio.

Iklan
Iklan

Daripada pencuci mulut sehinggalah ke minuman, rasa kacang kehijauan itu jadi pilihan utama dalam inovasi kulinari di pelbagai negara.

Sebelum ini, pistasio lebih dikenali sebagai snek ringan atau bahan tambahan dalam manisan komuniti Asia Barat.

Iklan

Tidak semena-mena ia kini berubah status menjadi ‘rasa premium’ yang semakin digemari malah ada peniaga yang mengambil peluang untuk menjual menu berasaskan kacang cerdik ini.

Fenomena itu jelas kelihatan di kafe-kafe ‘hipster’ dan media sosial, apabila menu baharu wajib menampilkan sekurang-kurangnya satu versi pistasio.

Iklan

Dalam dunia makanan hari ini, nampaknya kreativiti diukur berdasarkan sejauh mana sesuatu hidangan boleh ‘dipistasiokan’ seiring dengan trend ‘matcha strawberi’.

Di sebalik gelombang kreativiti dalam dunia makanan, pada kaca mata Merak Jalanan, kadangkala ia kelihatan agak berlebihan dan tidak kena dengan tekak.

Ramai yang mula mengkritik kerana trend itu semakin mendominasi sehingga membuatkan variasi rasa lain seolah-olah tenggelam.

Walaupun begitu, permintaan tetap tidak berkurang. Selagi ia boleh ‘dipistasiokan’, selagi itu ia akan muncul di menu, tidak kira sesuai atau tidak asalkan laku untuk dijual.