JOHOR BAHRU – Seorang Exco Kerajaan Negeri Johor digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, manakala seorang lagi Exco dipindahkan ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu dalam pengumuman calon BN pada Rabu.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail @ Md On yang juga penyandang kerusi DUN Serom tidak disenaraikan sebagai calon pada PRN kali ini.
Sebaliknya, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan muka baharu, Nadhirah Afiqah Abdull Rahim sebagai calon BN bagi kerusi DUN Serom pada Majlis Pengumuman Calon BN PRN Johor Ke-16.
Dalam perkembangan sama, seorang lagi Exco negeri, K Raven Kumar yang sebelum ini menyandang kerusi DUN Tenggaroh dipindahkan untuk bertanding di DUN Kemelah.
Kerusi DUN Tenggaroh yang ditinggalkan Raven Kumar pula akan diisi oleh Mohd Youzaimi Yusof, yang sebelum ini bertanding di DUN Endau pada PRN Johor 2022.
Daripada keseluruhan 11 Exco Kerajaan Negeri, sembilan lagi termasuk Menteri Besar kekal mempertahankan kerusi masing-masing.
Onn Hafiz akan bertanding di DUN Machap, manakala beberapa Exco lain turut dikekalkan di kawasan sedia ada, antaranya Mohd Fared Mohd Khalid (Semerah), Ling Tian Soon (Yong Peng), Lee Ting Han (Paloh), Aznan Tamin (Tanjung Surat), Mohd Jafni Md Shukor (Bukit Permai) dan Mohd Hairi Mad Shah (Larkin).
Pengumuman tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada strategi BN Johor untuk menampilkan gabungan muka baharu serta mengekalkan sebahagian besar kepimpinan sedia ada dalam menghadapi PRN Johor Ke-16.