SEREMBAN - Selepas setahun tragedi tiga remaja maut dirempuh pemandu Honda Jazz bawah umur dalam kejadian di Senawang tahun lalu, Mahkamah Majistret di sini pada Rabu memerintahkan pesalah muda tersebut dihantar ke Sekolah Henry Gurney selama tempoh tiga tahun.
Majistret, Nurul Azuin Mohd Talhah menjatuhkan hukuman berkenaan selepas remaja lelaki yang kini berusia 18 tahun sembilan bulan itu membuat pengakuan bersalah di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 Kanun Keseksaan.
Beliau membuat keputusan terbabit selepas mengambil kira laporan sosial dikemukakan Pegawai Perintah Khidmat Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Faizudin Ahmad Zaini, selain meneliti hujahan pemberat pihak pendakwaan dan mitigasi pihak pembelaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Honda Jazz mengaku tidak bersalah sebabkan tiga remaja maut
Seorang daripada tiga ibu mangsa rempuhan Honda Jazz alami kemurungan
Pemandu Honda Jazz sebabkan dua remaja maut tiada lesen memandu
Dua remaja maut dirempuh kereta langgar lampu isyarat
Remaja terbabit yang hadir ke mahkamah dengan bertongkat turut dikehendaki berada di bawah pengawasan pegawai akhlak selama setahun selepas tamat tahanan, manakala ibunya sebagai penjaga dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan cagaran RM4,000.
Selain itu, bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 26(1) APJ 1987 iaitu memandu tanpa lesen, remaja tersebut diperintahkan membayar denda RM2,000, jika gagal bayar boleh dipenjara satu bulan.
Mahkamah juga memerintahkan ibu bapanya membayar pampasan sebanyak RM2,000 kepada setiap keluarga mangsa selaras dengan Seksyen 426A Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
Bagaimanapun prosiding tersebut dijalankan dalam keadaan tertutup.
Sementara itu, peguam yang mewakili remaja terbabit, Johan Radzi memaklumkan kepada pemberita bahawa beliau telah memohon penangguhan berhubung perintah ke Sekolah Henry Gurney yang berkuat kuasa pada Khamis atas faktor kesihatan anak guamnya.
Katanya, anak guamnya hadir ke mahkamah dalam keadaan bertongkat kerana kecederaan yang dialami akibat kemalangan masih belum pulih sepenuhnya.
"Tulang dia masih ada 'range of motion' (sukar bergerak), jadi pinggang dan lutut dia agak terbatas.
"Dia tidak boleh berdiri terlalu lama. Saya rasa mungkin disebabkan pelanggaran itu badan dia pun tidak seperti dulu. Itu antara hujahan kami tadi di mahkamah tentang keadaan fizikalnya," katanya.
**pullquote**
Bagaimanapun jelas beliau, mahkamah menolak rayuan tersebut dan memaklumkan sekolah tersebut mempunyai fasiliti kesihatan untuk merawatnya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Hafiza Ishak.
Media pada 17 Disember 2025 melaporkan, pesalah kanak-kanak itu membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan sebagai pemandu Honda Jazz telah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang jam 8.30 malam di lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Heights di sini pada 6 Mac 2025.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
Dalam kemalangan pada 6 Mac tahun lalu, kereta Honda Jazz dipandu remaja lelaki itu gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah lalu melanggar dua motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.