KOTA KINABALU - Pakar tulisan tangan dan dokumen, Dr Linthini Gannetion tidak bersetuju bahawa kehadiran kesan yang kelihatan seperti darah pada helaian kertas Y8A mengesahkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir sebagai penulis pada kertas tersebut.
Ketika menjawab soalan peguam, Dr Linthini bersetuju bahawa terdapat kesan yang kelihatan seperti darah pada helaian kertas Y8A yang bertarikh 5 Januari 2025.
"Analisis DNA tidak mempunyai kaitan dengan penentuan penulis (authorship). Hanya kerana darah itu miliknya, tidak bermakna tulisan tangan itu juga miliknya," katanya di Mahkamah Koroner, di sini, pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam, Joan Goh, semasa prosiding inkues kematian Zara Qairina.
Sebelum itu, Dr Linthini turut menjelaskan bahawa beliau tidak dapat membuat perbandingan terhadap beberapa ciri penulisan tidak formal yang dikemukakan peguam kerana sampel yang dibekalkan kepadanya bukan daripada tempoh masa yang sama dengan dokumen yang dipersoalkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Lima remaja bawah 18 tahun akan didakwa kes buli Zara Qairina
Kes Zara Qairina: Peguam desak pertuduhan Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan
Ibu Zara Qairina tolak bedah siasat, mahu segera kebumi anak
Kes Zara Qairina: Wujud elemen buli, pengabaian dan gangguan seksual - Saifuddin
"Saya tidak dapat membandingkannya kerana sampel tidak formal yang diberikan kepada saya adalah dari tahun 2023, yang bukan dari tempoh masa yang sama (non-contemporaneous)," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa dalam membuat penentuan forensik tulisan tangan, pakar perlu menilai kedua-dua persamaan dan perbezaan yang terdapat pada dokumen yang diperiksa sebelum sebarang kesimpulan dapat dibuat.
Menurutnya, berdasarkan piawaian yang dirujuk dalam I271A, sekiranya terdapat faktor pengehad yang ketara seperti cubaan penyamaran atau kekurangan bahan tulisan yang sesuai untuk dibandingkan, maka rumusan yang dibuat adalah 'tiada kesimpulan'.
Sebelum itu, Joan mencadangkan bahawa Y8A ditulis oleh Allahyarham Zara Qairina berdasarkan beberapa persamaan ciri tulisan yang dikenal pasti serta kewujudan kesan yang kelihatan seperti darah pada dokumen tersebut.
Sementara itu, ketika dirujuk kepada laporan kedua berkaitan kemungkinan pindaan tanpa kebenaran terhadap kandungan dokumen Y1 hingga Y15, Dr Linthini bersetuju bahawa tarikh dan kandungan pada beberapa halaman ditulis menggunakan dakwat yang sama.
Beliau bersetuju dengan cadangan peguam bahawa individu yang menulis tarikh pada Y2B, Y8A dan Y10B menggunakan pen yang sama.
Dr Linthini turut mengesahkan bahawa walaupun laporan beliau menunjukkan penggunaan dua pen berbeza pada dokumen Y10B, beliau masih merumuskan bahawa Y10B ditulis oleh Allahyarham Zara berdasarkan ciri-ciri lain yang masih boleh dibandingkan.
"Betul. Ciri-ciri lain masih boleh saya bandingkan," katanya.
Namun dalam masa sama, beliau tidak bersetuju dengan cadangan bahawa kewujudan pen kedua pada Y10B bermakna dokumen tersebut tidak diusik.
"Saya tidak setuju, kerana konteks pengusikan (tampering) di sini bukan sahaja mengenai penambahan, tetapi juga melibatkan halaman yang dibuang atau maklumat yang dipadamkan," katanya.
Joan bersama rakan sepasukannya, Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan merupakan peguam yang mewakili pelajar A dalam kes berkaitan kematian remaja tersebut.