KUALA LUMPUR - Seramai 1,156 individu ditahan polis kerana disyaki terlibat dengan pelbagai kegiatan perjudian haram menerusi 868 serbuan di sekitar ibu kota sejak 1 Januari hingga 23 Jun lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya turut merampas wang tunai keseluruhan berjumlah RM45,033 serta nilai pertaruhan mencecah RM96,878.58 dan HKK 32,799.75 (RM17327.23) dalam serbuan berkenaan.
"Operasi itu turut merangkumi 'Op Soga IV' yang dilancarkan khusus bagi membanteras aktiviti perjudian bola sepak sempena Piala Dunia FIFA 2026.
"Menerusi Op Soga IV sahaja, sebanyak 22 serbuan dilaksanakan dengan tangkapan seramai 24 orang serta rampasan wang tunai RM25,020, manakala nilai pertaruhan direkodkan sebanyak RM96,878.58 dan HKK 32,799.75," katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Fadil berkata, pihaknya turut menyita pelbagai peralatan elektronik termasuk dua unit komputer riba, sebuah monitor, 27 telefon bimbit, seunit iPad, dan 27 kad sim daripada sindiket pertaruhan bola sepak berkenaan.
Sementara itu, Fadil berkata, tindakan terhadap perjudian dalam talian (online) mencatatkan statistik tertinggi dengan 322 serbuan dilakukan, sekali gus membawa kepada penahanan seramai 341 individu.
"Bagi kategori judi dalam talian ini, polis merampas wang tunai berjumlah RM1,015 bersama 336 unit telefon bimbit, 29 tablet, 10 modem, dan tiga unit router.
"Selain itu, bagi kegiatan judi nombor ekor haram, sebanyak 486 serbuan berjaya dilaksanakan yang mengakibatkan 487 individu ditahan bersama rampasan wang tunai RM4,886 serta 451 telefon bimbit dan 45 kertas pertaruhan,"katanya.
Beliau berkata, operasi membanteras judi dalam bangunan pula menyaksikan 16 serbuan dijalankan dengan tangkapan seramai 146 orang serta rampasan pelbagai peralatan seperti daun terup, cip judi, batu mahjong, dan dadu.
"Bagi aktiviti judi luar bangunan, sebanyak satu serbuan dilakukan yang membawa kepada penahanan enam individu bersama wang tunai RM770.
"Selain itu, serbuan ke atas premis pusat panggilan (calling centre) yang disyaki menjalankan kegiatan haram mencatatkan 21 serbuan dengan penahanan 152 individu serta rampasan 58 komputer, 77 komputer riba, 218 telefon bimbit, dan pelbagai peralatan rangkaian,"katanya.
Fadil berkata, kes disiasat di bawah pelbagai peruntukan undang-undang seperti Akta Pertaruhan 1953, Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Akta Imigresen 1959.
"Operasi ini akan dilaksanakan secara berterusan demi membanteras jenayah dan memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
"Orang awam dinasihatkan agar sentiasa menjauhi aktiviti perjudian serta berwaspada dengan taktik penipuan pusat panggilan, dan sebarang maklumat boleh disalurkan ke Hotline Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran,"katanya.