Gadai jongkong emas beli kripto, bekas penyelia kedai emas dipenjara 16 bulan, tiga sebatan

Iklan
Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat selepas dijatuhi hukuman penjara dan sebat atas pertuduhan pecah amanah. - FOTO: Bernama

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang bekas penyelia kedai emas menggadaikan tiga keping jongkong emas untuk membeli mata wang kripto membawa padah apabila Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara 16 bulan dan tiga sebatan terhadapnya atas tiga pertuduhan pecah amanah.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman penjara 16 bulan dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan yang dihadapi Mun Hoe, 33, dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula Jumaat.

Iklan
Iklan

Mengikut tiga pertuduhan, Mun Hoe didakwa sebagai penyelia kedai emas yang diamanahkan tiga keping jongkong emas 999 seberat 50 gram dan 100 gram bernilai keseluruhan RM176,200 telah memajak harta tersebut di sebuah kedai pajak untuk kegunaan dirinya.

Kesalahan dilakukan di sebuah kedai emas di pusat membeli-belah di Cheras antara 10.42 pagi hingga 1.36 petang, antara 4 Jun hingga 8 Jun lepas.

Iklan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 14 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang merupakan pengurus sumber manusia di premis berkenaan telah memeriksa stok di peti besi dan mendapati tiga keping jongkong emas telah hilang.

Iklan

Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tertuduh yang bertugas sebagai penyelia telah mengambil jongkong emas tersebut tanpa kebenaran majikan, dengan memasukkannya ke dalam poket anak vest sebelum membawanya keluar dari premis.

Hasil siasatan juga mendapati tertuduh menggadaikan ketiga-tiga jongkong emas itu bagi mendapatkan wang untuk kegunaan sendiri, sebelum menggunakan wang berkenaan untuk membeli mata wang kripto melalui aplikasi huobi bagi tujuan perdagangan sehingga mengalami kerugian.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zul Hilmi Latif memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh di samping memaklumkan Mun Hoe tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Mun Hoe yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia mempunyai dua anak masing-masing berusia tiga dan enam tahun dan baru bercerai dengan isterinya serta perlu menjaga ibu bapanya.

"Ini adalah kesalahan kali pertama saya dan saya buat keputusan yang salah...bagi peluang kepada saya,” katanya.

Sementara itu, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr Azrol Abdullah, Mun Hoe mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan pecah amanah membabitkan seutas rantai emas 999 seberat 80 gram bernilai RM57,840.82 dengan memajak harta tersebut untuk kegunaan dirinya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kedai emas sama pada 11.32 pagi, 12 Jun lepas mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 22 September ini untuk fakta kes dan hukuman. - Bernama