SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu menjelaskan kepada rakyat mengenai pelepasan tahanan di rumah yang diberikan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengasas Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, diharapkan mereka tidak mengulangi hujah yang sama iaitu perkara ini adalah di luar kawalan.
Menurutnya, paling kurang, Anwar mengumumkan syarat-syarat tahanan di rumah secara terperinci supaya jika ada pelanggaran yang nyata tindakan boleh diambil.
"Biarlah rakyat biasa menjadi mata dan telinga masyarakat agar pelepasan tahanan di rumah ini dilaksanakan secara tegas mengikut syarat-syarat yang dikenakan.
"Ini bukan soal politik, tetapi hutang yang Anwar dan PH ada kepada rakyat mengenai Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), terutamanya individu-individu tidak bernama yang mengambil risiko besar dalam menjalankan tugas harian mereka sehingga isu ini diketahui umum.
"Anwar mendapat laba besar daripada isu 1MDB. Di kemuncak pertembungan skandal 1MDB di antara tahun 2015 hingga 2018, beliau berada di penjara.
"Tanggungjawab memperjuangkan hak rakyat bersabit 1MDB digalas oleh rakyat biasa dalam kalangan penjawat awam, media dan aktivis. Maka, adalah wajar Anwar dan kepimpinan PH menjelaskan kepada rakyat mengenai perkara tersebut," ujarnya menerusi hantaran Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Perkara itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dalam kenyataan.
Ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, hari ini.
Tambah Rafizi, diharapkan juga rakyat diberi ruang untuk menzahirkan pandangan mereka selagi di dalam batas undang-undang.
Jelasnya, bagaimanapun rakyat biasa perlu berpada-pada dalam menzahirkan pandangan mengenai perkara ini kerana ia telah berlaku bawah pentadbiran PH.
"Kepada rakyat Malaysia yang mempunyai rasa mendalam mengenai penyelewengan 1MDB dan rentetan isu akibat skandal itu, saya berharap kita sama-sama sedar bahawa tanggungjawab menjaga amanah rakyat itu adalah satu kerja berterusan yang tidak akan berhenti.
"Kepada Najib, keluarga dan penyokong mereka, saya berharap mereka memahami bahawa luka dari skandal 1MDB ini adalah dalam bagi kebanyakan rakyat Malaysia.
"Sementara saya berlapang dada dengan keputusan yang telah dibuat, sebaik-baiknya proses tahanan di rumah itu berjalan dengan senyap untuk tidak mengundang pelbagai reaksi yang lain," ujarnya.