SHAH ALAM – Semua ahli Parlimen digesa melaksanakan penelitian penuh, terperinci dan berprinsip terhadap Rang Undang-Undang (RUU) berhubung pemisahan kuasa antara Peguam Negara dengan Pendakwa Raya sebelum dibahaskan serta diluluskan di Dewan Rakyat.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) #RasuahBusters berkata, langkah itu penting berikutan setiap keputusan akan menatijahkan legasi keadilan yang telus, bebas dan mampu bertahan, sekali gus memastikan reformasi RUU yang kini berada pada fasa kritikal itu berjaya direalisasikan.
#RasuahBusters turut menggariskan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh ahli Parlimen.
"Memastikan tiada kekaburan undang-undang yang boleh melemahkan kepastian proses pelantikan dan pentadbiran pendakwaan berikutan apa-apa ruang tafsiran yang terlalu luas berisiko menimbulkan masalah pelaksanaan dari segi praktikal dan operasi, percanggahan tafsiran serta membuka ruang kepada campur tangan yang menjejaskan integriti institusi pendakwaan.
"RUU harus memanifestasikan tahap ketelusan dan akauntabiliti serta mampu menangani risiko konflik kepentingan dan potensi manipulasi kuasa oleh mana-mana pihak," katanya menerusi kenyataan di sini pada Rabu.
Menurutnya, peranan Parlimen harus diperkukuh secara substantif, dengan legislatif yang kukuh dan keterbukaan awam menjadi benteng kepada gejala nepotisme, kronisme dan salah guna kuasa.
"Jawatan Pendakwa Raya amat penting dalam mengekalkan integriti sistem keadilan jenayah. Oleh itu, proses pencalonan dan penilaian yang telus, bebas serta berakauntabiliti adalah teras kepada penentuan kelayakan calon.
"RUU tersebut ialah nadi pelindung keadilan untuk rakyat. Pencalonan terbuka, kriteria kelayakan berasaskan merit, tempoh saringan yang munasabah dan keperluan bagi jawatankuasa pilihan untuk memaparkan asas penilaian mereka merupakan jaminan yang rakyat perlukan.
"Begitu juga, peranan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) sebagai penasihat perlu diseimbangkan dengan syor Parlimen yang mewakili suara rakyat," ujarnya.
Tambahnya lagi, Pendakwa Raya harus bebas daripada sebarang pengaruh yang tidak wajar agar institusi keadilan dapat dipertahankan.
"Ini ialah prasyarat untuk memperkukuh integriti pendakwaan, memulihkan keyakinan awam dan memastikan pelaksanaan undang-undang yang adil tanpa pilih kasih," katanya.
#RasuahBusters turut mengingatkan ahli-ahli Parlimen supaya memastikan RUU berkenaan dijayakan dengan ketelitian yang tinggi.
"Menggantikan proses yang tidak telus dengan proses baharu tanpa keseimbangan yang sebenar berupaya menyebabkan apa jua reformasi menjadi lebih berbahaya daripada status quo.
"RUU ini di ambang realiti. Jadikanlah ia peluang mencipta sejarah sebagai hamba Tuhan yang menjunjung kedaulatan undang-undang dengan rasa tanggungjawab dan amanah yang tinggi," katanya lagi.