KOTA KINABALU - Beberapa imej helaian kertas mengandungi tulisan tangan yang dipercayai milik Allahyarham Zara Qairina Mahathir dipaparkan di Mahkamah Koroner di sini pada Rabu, dalam prosiding inkues kematian remaja berkenaan.
Tulisan tangan pada helaian tersebut dikaitkan dengan luahan perasaan pelajar Tingkatan Satu itu termasuk mengenai hubungan dengan ibunya.
Imej berkenaan turut dijadikan rujukan utama semasa prosiding tersebut apabila peguam, Joan Goh, mengemukakan beberapa soalan kepada pakar pemeriksa tulisan tangan dan dokumen, Dr Linthini Gannetion.
Dalam sesi berkenaan, Joan memaparkan beberapa imej yang diambil daripada laporan forensik bagi meneliti ciri-ciri spesifik tulisan tangan seperti bentuk huruf, struktur angka serta kedudukan strok tulisan pada garisan kertas bergaris.
Imej yang dipaparkan sepanjang prosiding menjadi sebahagian daripada perincian teknikal yang dibangkitkan bagi meneliti perkembangan dan konsistensi ciri tulisan tangan dalam tempoh yang dikaji oleh pakar forensik berkenaan.
Antara fokus perbahasan ialah ciri 'descender strokes' bagi huruf kecil seperti ‘j’, ‘g’ dan ‘y’ sama ada kekal dalam ruang antara garisan atau melepasi sedikit garisan asas tulisan.
Berdasarkan imej yang ditandakan, Dr Linthini pada awalnya tidak bersetuju bahawa perkara itu tidak dianalisis dalam laporan, namun kemudian mengakui bahawa strok berkenaan secara umumnya masih berada dalam ruang antara garisan halaman bergaris.
Joan bersama barisan peguamnya, Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan mewakili pihak berkaitan dalam inkues kematian remaja tersebut.
Prosiding mahkamah kemudian ditangguhkan pada tengah hari dan bersambung semula pada jam 2 petang.