Isu peribadi, perbelanjaan harian motif pembunuhan penuntut IPTS

Iklan
Shazeli pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Rabu. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB

SHAH ALAM - Isu peribadi dan perbelanjaan harian dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang ditemukan maut di sebuah kondominium di Bandar Sunway, Petaling Jaya pada Selasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek saling mengenali serta mempunyai hubungan istimewa.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, kita percaya motif kejadian adalah disebabkan isu peribadi yang melibatkan emosi, perasaan serta perbelanjaan harian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Rabu.

Shazeli berkata, fokus siasatan kini tertumpu kepada seorang lelaki warga asing yang ditahan di lokasi kejadian sejurus mayat mangsa ditemukan.

Iklan

"Setakat ini, tiada petunjuk yang mengaitkan individu lain dengan kejadian tersebut. Bagaimanapun, pihak polis tidak menolak sebarang kemungkinan sehingga siasatan selesai sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata, beberapa barang kes telah dirampas termasuk senjata yang digunakan dalam kejadian berkenaan.

Iklan

Shazeli berkata, pihaknya sedang mendapatkan pengesahan lanjut daripada pihak institusi berkenaan, termasuk tempoh pengajian, bidang pengajian dan hubungan antara kedua-dua individu tersebut.

"Setakat ini, kita telah merakam percakapan beberapa jiran dan saksi yang berada berhampiran lokasi kejadian bagi membantu siasatan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan polis menerima maklumat kejadian pada jam 11.03 pagi sebelum menemui mangsa berusia 20-an dalam keadaan tidak bernyawa dengan kesan kecederaan pada tubuh.

Seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an turut ditahan di lokasi sama bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.