KOTA BHARU - Misteri bunyi bising yang didengari seorang warga emas selama dua hari dari siling rumahnya di Kampung Baung Bayam di sini akhirnya terungkai apabila seekor itik serati ditemui terperangkap pada Isnin.
Lelaki berusia 70 tahun itu pada mulanya menyangka terdapat ular atau biawak berada di dalam siling rumah sebelum membuat panggilan kecemasan untuk mendapatkan bantuan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Bharu, Mejar (PA) Mohd Arif Mohd Zin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.56 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sebaik tiba di rumah berkenaan, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Bharu menjalankan pemeriksaan dan menemui serati jenis 'Mike Hotel Lima' yang terperangkap di dalam siling.
"Kemungkinan haiwan ternakan tersebut terbang masuk dan mencari tempat berlindung selepas terkejut dengan kerja-kerja membersihkan kawasan berhampiran rumah pengadu.
"Pengadu memaklumkan bunyi tersebut telah didengari sejak dua hari lalu sebelum mengambil keputusan menghubungi pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Beliau berkata, operasi menyelamat melibatkan empat anggota APM itu bermula sekitar jam 12.55 tengah hari dan berjaya diselesaikan dalam tempoh kira-kira satu jam.
“Serati milik jiran berjaya dikeluarkan dengan selamat tanpa sebarang kerosakan pada struktur rumah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan operasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya segera mendapatkan bantuan pihak berkuasa sekiranya haiwan liar atau unggas memasuki kediaman bagi mengelakkan risiko kecederaan atau kerosakan harta benda.